Kenangan Tembak 31 Das Meriam Pada 31 Ogos 1957 Paling Indah


KUBANG PASU - Peluang melepaskan tembakan bersejarah pada tanggal 31 Ogos 1957, menjadi kenangan terindah bagi askar Artileri Diraja British Kor Meriam 1957, Ahmad Saad, 86.

Bekas penembak meriam merdeka berkenaan, menyifatkan pengalaman melepaskan 31 das tembakan ketika laungan merdeka oleh Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman adalah berbeza berbanding kebiasaannya.

“Sehingga kini, saya masih mengingati kisah-kisah zaman sebelum merdeka dan tugas menembak meriam di Stadium Merdeka, pada tarikh bersejarah itu.

“Pada 1949 ketika usia 19 tahun, saya menyertai askar. Selepas itu, saya menyertai Artileri British untuk menjalani latihan selama tiga bulan dalam Kor Meriam di Singapura pada 1952,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka akan diamanahkan tugas bersama-sama beberapa rakan lain untuk melepaskan tembakan bersejarah itu.

Ahmad berkata, dia dan rakan diarahkan dari Singapura ke Kajang, sebelum ke Stadium Merdeka untuk melaksanakan tembakan meriam bagi menyambut laungan merdeka pada 1957.

Menurutnya, arahan menembak meriam pada detik bersejarah berkenaan disampaikan melalui perhubungan wayarles supaya tembakan boleh dibuat serentak di Stadium Merdeka.

“Peristiwa melakukan tembakan mereka berkenaan sentiasa diingati kerana berlainan berbanding sewaktu menyertai Kor Meriam, yang mana saya hanya menembak melawan musuh sebelum itu,” katanya.

Menurutnya, tembakan berkenaan begitu bermakna kerana ia seiring dengan laungan kemerdekaan, sekali gus menandakan kelahiran sebuah negara baru.

Untuk itu, katanya, dia mengharapkan generasi masa kini bersyukur dengan nikmat kemerdekaan dan menghargai pejuang terdahulu yang sanggup berkorban demi negara.

Sebelum itu, beliau diziarah alumni Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN)  di kediamannya di Kampung Changhai, di sini, kelmarin.

Pengerusi Alumni IKBN, Samsudin Oli Mohamed berkata, kunjungan berkenaan sememangnya bermakna kerana berpeluang mendengar kisah kemerdekaan.

Turut hadir, Pensyarah Teknologi Media Universiti Utara Malaysia,  Mot Madon dan pelajar praktikal jurusan fotografi dari IKBN Kuala Langat, Mohamad Nurhafiz Hamdan, 20.

Sumber: Sinar Harian