Kenapa Jack Kevorkian Digelar Sebagai "Doktor Kematian"?

Kevorkian mendakwa telah membantu 130 orang untuk membunuh diri.
JACK Kevorkian merupakan seorang pakar patologi Amerika, aktivis euthanasia, pelukis, pengarang, komposer dan berbakat dalam bermain alat muzik.

Beliau terkenal kerana secara terbuka memperjuangkan hak pesakit yang memilih untuk membunuh diri melalui bantuan doktor. Baginya, mati bukan jenayah.

Sepanjang kariernya sebagai doktor, Kevorkian mendakwa telah membantu sekurang-kurangnya 130 pesakit bunuh diri. Malah, media turut menggelarnya sebagai Doktor Kematian.

Bagaimanapun, pada tahun 1999, Kevorkian ditangkap dan disabitkan bersalah untuk pembunuhan darjah kedua serta menghabiskan masa selama lapan tahun di dalam penjara.

Kehidupan awal dan pendidikan

Jack Kevorkian dilahirkan pada 26 Mei 1928 di Pontiac, Michigan di Amerika Syarikat dan merupakan anak kedua kepada pasangan Armenia Levon serta Satenig Kevorkian, pendatang dari Armenia.

Ibu bapa Kevorkian merupakan pelarian yang melarikan diri daripada pembunuhan beramai-ramai Armenia pada tahun 1915, berlaku tidak lama selepas Perang Dunia Pertama.

Pada tahun 1945, beliau tamat dengan kepujian dari Sekolah Tinggi Pontiac ketika berusia 17 tahun dan diterima masuk ke University of Michigan College of Engineering dengan bersandarkan matlamat untuk menjadi seorang jurutera awam.

Bagaimanapun, pada tahun pertama pengajian, beliau menjadi bosan dan mula memberi tumpuan kepada bidang botani dan biologi.

Beliau kemudiannya nekad meneruskan pengajian di sekolah perubatan dan menamatkan pelajaran di University of Michigan Medical School di Ann Arbor pada tahun 1952.

Kerjaya

Semasa berkhidmat di hospital University of Michigan pada tahun 1950 an, Kevorkian  menjadi berminat dengan kematian dan dalam tempoh beberapa dekad, beliau membangunkan beberapa idea kontroversi berkaitan kematian.

Beliau mencadangkan supaya semua banduan yang dijatuhi hukuman mati dibenarkan mengemukakan pilihan untuk dijadikan uji kaji perubatan sebagai salah satu bentuk pelaksanaan bagi menggantikan undang-undang.

Dalam kaedah dipanggil ujian terminal pada manusia, Kevorkian menegaskan bahawa banduan yang menjadi sukarelawan tidak akan merasa sebarang kesakitan, namun eksperimen perubatan yang dimulakan semasa mereka berada dalam keadaan sedar akan berakhir dengan kematian.

Atas cadangan eksperimen peliknya itu, rakan dan media memberinya nama samaran Doktor Kematian.

Sekitar tahun 1987, Kevorkian memulakan pengiklanan di akhbar Detroit sebagai perunding pakar perubatan untuk kaunseling kematian.

Bantuan bunuh diri awam pertamanya dilakukan pada tahun 1990, iaitu setahun selepas  Janet Adkins, 54, didiagnosis penyakit Alzheimer. 

Apabila berita itu tersebar, nama Kevorkian menjadi sebutan dan penjenayah. Dakwaan membunuh digugurkan pada 13 Disember tahun sama kerana ketika itu tiada undang-undang di Michigan mengenai bantuan bunuh diri.

Bagaimanapun, pada tahun 1991, Michigan membatalkan lesen perubatan Kevorkian dan beliau tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang amalan perubatan atau bekerja dengan pesakit.

Menurut peguamnya, Geoffrey Fieger, Kevorkian telah terlibat dalam membantu kematian 130 orang di antara tahun 1990 dan 1998.

Sabitan dan hukuman penjara

Pada tahun 1998, badan perundangan Michigan menggubal undang-undang di mana mereka yang membantu bagi tujuan bunuh diri akan dipenjara lima tahun atau denda AS$10,000 (RM42,000).

Pada tahun sama, Kevorkian mencetuskan kontroversi lebih besar apabila membenarkan program berita 60 Minutes menyiarkan rakaman pita tentang suntikan maut yang akan diberi kepada Thomas Youk selepas beliau diminta untuk membantu pesakit itu bunuh diri.

26 Mac 1999, hakim di Mahkamah Oakland menyabitkan Kervokian bersalah untuk pembunuhan darjah kedua dan dijatuhi hukuman penjara 25 tahun.

Penyakit dan kematian

1 Jun 2007, Kevorkian dibebaskan kerana berlakuan baik selepas lapan tahun dipenjara. Bagaimanapun, beliau disahkan menghidap kanser hati yang mungkin berpunca daripada Hepatitis C.

Beliau dimasukkan ke hospital pada 18 Mei 2011 akibat masalah buah pinggang dan radang paru-paru. Keadaan kesihatan semakin meruncing dan beliau akhirnya meninggal dunia pada 3 Jun, lapan hari selepas ulang tahun kelahirannya ke 83.

Sumber: Sinar Harian