Kerajaan Galak Ternak Ikan Dalam Sangkar, Langkawi Berpotensi Besar


LANGKAWI – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan nelayan mengusahakan projek tenakan ikan dalam sangkar bagi meningkatkan pengeluaran ikan negara.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pada masa ini hanya 20 peratus daripada sumber perikanan negara dari ternakan dalam sangkar.

“Pihak kementerian berharap dapat meningkatkan lagi pengeluaran tangkapan ikan dengan ternakan ikan dalam sangkar kepada sekitar 50 peratus,” katanya yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO bahagian Langkawi kelmarin.

Beliau berkata permintaan untuk ikan akan terus bertambah dan ia boleh dipenuhi sebahagiannya menerusi projek ternakan ikan dalam sangkar yang dapat dijalankan sepanjang tahun.

Menurutnya Langkawi berpotensi untuk menjalankan projek ternakan ikan dalam sangkar.

Tajuddin berkata semasa lawatannya ke Vietnam baru-baru ini terdapat sebuah pulau yang telah menjalankan projek ternakan ikan dalam sangkar dengan jayanya. – BERNAMA