Kerajaan Iltizam Lahir Bukan Saja Golongan Pandai, Tapi Juga Cerdik - Mahzir Khalid


ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan mahu melahirkan bukan sahaja golongan yang pandai tetapi juga cerdik, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, golongan cerdik yang dimaksudkan itu ialah mereka yang tidak hanya bersandarkan kepada keputusan cemerlang semata-mata dalam peperiksaan, sebaliknya mereka yang tahu apa yang berlaku di persekitaran mereka, dan tahu berfikir secara rasional.

Semua orang perlu mempunyai kesedaran pendidikan yang cukup tinggi bagi memastikan masyarakat terus berada pada landasan yang betul, katanya ketika berucap melancarkan sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Jabi di sini Sabtu malam.

Katanya melalui kesedaran sedemikian, masalah-masalah seperti ponteng sekolah, penyalahgunaan dadah dan malas belajar tidak disandarkan di bahu pihak sekolah, sebaliknya semua pihak.

Dalam majlis itu, Mahdzir turut menerima kad keahlian 01 Persatuan Alumni SK Jabi.

Pengerusi Persatuan Alumni SK Jabi, Rusinah Ahmad berkata, antara program yang disusun bersempena sambutan itu ialah program Semarak Merdeka, bacaan Yasin Perdana dan Forum Perdana.

Katanya acara kemuncak melibatkan karnival selama dua hari dijangkakan pada 13 dan 14 Nov ini, bersempena 100 tahun SK Jabi pada 15 Nov depan.

Penubuhan alumni sekolah pada 1 Mac lalu adalah ilham Mahdzir bagi mempertemukan bekas-bekas pelajar SK Jabi sekali gus membolehkan banyak program dibuat dengan lebih tersusun. – BERNAMA