Kerajaan Negeri Perlis Pandang Serius Pelajar Ponteng, Terlibat Jenayah

Gambar Hiasan
KANGAR – Kerajaan negeri Perlis memandang serius masalah ponteng sekolah dan jenayah dalam kalangan pelajar di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri menegaskan walaupun kes ponteng sekolah dan jenayah dalam kalangan pelajar di negeri ini berkurangan, tetapi ini tidak bermakna kerajaan negeri berpuas hati.

“Apa yang pasti biarlah perkara tersebut benar-benar terkawal dan tidak ada lagi pelajar di negeri ini yang terlibat dengan ponteng sekolah dan jenayah,” katanya.

Azlan berkata demikian semasa menjawap soalan lisan Asmaiza Ahmad (BN- Chuping) di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini kelmarin, yang ingin mengetahui sejauh mana kerajaan negeri berupaya menangani masalah pelajar yang kerap ponteng sekolah dan melakukan jenayah.

Beliau berkata bagi kes ponteng sekolah antara Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 81 kes dicatatkan berbanding 99 kes tempoh sama tahun lepas sementara kes jenayah yang melibatkan pelajar pula sebanyak 36 kes berbanding 73 kes tahun lepas untuk tempoh sama.

Katanya, walaupun kedua-dua kes itu menampakkan penurunan, tetapi usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan ianya dapat dibendung sepenuhnya.

Azlan berkata salah satu pendekatan yang diambil bagi membendung gejala itu ialah dengan mengadakan program kerjasama dan dialog bersama ibu bapa, pihak polis dan guru.

Menjawap soalan lisan yang dikemukakan oleh Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang), Azlan berkata kerajaan negeri sememangnya sedar mengenai tahap pencapaian yang rendah pelajar-pelajar Perlis dalam peperiksaan-peperiksaan utama sejak kebelakangan ini termasuk peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Justeru, katanya, kerajaan negeri berazam untuk meningkatkan semula pencapaian pelajar Perlis dalam peperiksaan-peperiksaan berkenaan agar sekurang-kurangnya berada pada kedudukan lapan negeri terbaik di negara ini dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, antara pendekatan yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri bagi mencapai hasrat itu ialah menyusun semula pentadbiran sekolah-sekolah dengan membuat pertukaran pengetua-pengetua dan guru-guru besar.

Katanya, bagi pengetua dan guru besar yang cemerlang dijadikan mentor untuk membimbing sekolah-sekolah yang kurang berjaya sementara Pengarah Pendidikan Negeri pula peru lebih banyak turun padang untuk memberi semangat dan perangsang kepada pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan. – BERNAMA