Kes Bapa Bunuh Anak Didengar Semula Pada 9 September Ini


KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Selayang semalam menetapkan 4 September untuk sebutan semula kes seorang bapa yang didakwa membunuh anak lelakinya yang dijumpai reput dan ditanam di lantai dapur sebuah rumah teres, Mac lepas.

Majistret Nurliana Ismail menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil memaklumkan bahawa laporan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes Loo Chon Wen, 33, yang didakwa membunuh anak lelakinya Loo Yong Shen Evan, 9, di rumah No. 26, Jalan 10, Taman Usaha Jaya, Kepong, pada 2 petang, 29 Mac lepas.

Dia yang diwakili peguam Mak Kah Keong didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Jun lepas, isterinya, Tan Boa Jia, 33, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melupuskan mayat anak mereka dengan cara menanam mayat itu di bawah lantai dapur di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, satu mayat yang disimen dan mereput yang berbalut kain ditemui ditanam di lantai dapur sebuah rumah teres susulan kontraktor yang sedang mengubah suai rumah berkenaan, memecahkan simen dapur rumah itu. – BERNAMA