Kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) hingga meragut nyawa tiga beranak pada 2 Mei lepas.
|
KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Trafik di sini, hari ini bahawa beliau tidak tahu sama ada kerusi kanak-kanak ada atau tidak di dalam kereta Pajero yang terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) hingga meragut nyawa tiga beranak pada 2 Mei lepas.
Jurugambar Balai Polis Trafik Tun H.S Lee Koperal Jadzie Hanafiah berkata beliau tidak melihat langsung ke dalam kereta Pajero itu ketika merakamkan gambar kereta, mayat mangsa, situasi dan lokasi kejadian pada hari nahas itu berlaku.
“Saya tidak tengok pun ke dalam kereta itu, tidak tahu ada ke tidak (kerusi kanak-kanak),” katanya pada perbicaraan dua pemandu Myvi yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, enam bulan.
Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamaluddin, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di KM6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam sehingga 12.35 tengah malam pada 2 Mei lepas.
Jadzie, saksi ketiga yang dipanggil pada perbicaraan hari kedua itu, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam S.N.Seelan, yang mewakili Mohammad Fizal Reza.
Jadzie juga berkata beliau tidak diarahkan pegawai penyiasat kes itu untuk mengambil gambar di dalam kereta yang terlibat dalam kemalangan itu.
Ketika ditanya sama ada beliau tahu seorang bayi di dalam Pajero itu tercampak keluar ketika kemalangan berlaku, jurugambar itu berkata beliau tidak tahu kesahihannya.
“Saya hanya dengar cerita (bayi tercampak keluar), tapi saya tak tahu,” katanya.
Selain itu, Jadzie memberitahu bahawa ketika beliau tiba di tempat kejadian, kedudukan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah seperti di dalam gambar yang dirakamkan iaitu Myvi berwarna kuning berada di bahagian lorong paling kanan, Pajero berada di tengah jalan dan Myvi putih berada di bahagian kiri jalan.
“Saya tidak pasti (kereta) dialih atau tidak tetapi bila saya sampai, begitulah keadaan kenderaan itu,” katanya.
Terdahulu, peguam Omar Bakri yang mewakili Siti Noor Aini memohon mahkamah membenarkan Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza menulis keterangan saksi ketika prosiding itu.
“Mohon benarkan anak guam saya diberi kebenaran untuk ambil nota untuk ingatan sendiri atas segala keterangan yang diberi,” katanya.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan membenarkan permohonan itu tetapi mengarahkan mereka menggunakan kertas dan pen yang dibekalkan mahkamah sahaja.
Mahkamah juga membenarkan permohonan Omar untuk mendapatkan salinan cakera padat (CD) gambar kes kemalangan itu untuk rujukan pihak pembelaan kerana kualiti foto yang dicetak adalah kurang jelas.
Mahkamah menetapkan empat hari untuk menyambung perbicaraan itu pada 12, 13, 15 dan 16 Okt depan.
Majistret Zilfinaz Abbas akan mendengar perbicaraan itu kerana Noorul Fhaeiz akan cuti bersalin.
Seramai 12 saksi lagi dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan akan datang.
Turut hadir pada perbicaraan hari ini ialah peguam pemerhati C.Leo Camoens yang mewakili keluarga mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie. -BERNAMA