Putri Mardiana |
Pelakon Putri Mardiana terkejut dikenakan waran tangkap kerana perbicaraan kes khalwatnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur berlangsung pada Selasa lalu tanpa pengetahuannya.
Putri Mardiana Zainal Abdiin, 34, berkata, dia tidak diberitahu mengenai tarikh perbicaraan berkenaan dan tidak menyangka pihak mahkamah mengeluarkan perintah itu.
"Sebelum ini saya pernah cuba menghubungi pegawai syariah untuk bertanyakan mengenai tarikh perbicaraan tetapi tiada siapa pun yang menjawab.
"Dua kali saya cuba. Tetapi tiada siapa yang menjawab panggilan. Berkenaan dengan kes perbicaraan semalam (Isnin lalu) saya memang tidak tahu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Selasa lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon filem Ngangkung itu kerana gagal hadir pada perbicaraan tersebut.
Hakim Syarie, Mohamad Zaid Abdul Aziz mengeluarkan perintah itu selepas Putri Mardiana tidak hadir tanpa mengemukakan sebarang alasan munasabah kepada mahkamah.
Malah waran tangkap tersebut turut dikeluarkan kepada penjamin Putri Mardiana yang sepatutnya hadir pada perbicaraan itu.
Sementara itu, pelakon itu berharap ketidakhadirannya ke mahkamah tidak disalah anggap oleh mana-mana pihak kerana dia tidak berniat untuk merumitkan lagi kes tersebut.
"Saya harap orang ramai tidak menuduh saya sebarangan kerana tidak hadir ke perbicaraan itu. Saya akan menghubungi pegawai yang berkenaan untuk menyelesaikan perkara ini," ujarnya.
Terdahulu, pada 23 Jun lalu, Mardiana dan pasangannya, Shahrizam Abdullah mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut di mahkamah sama dan mereka dikenakan ikat jamin sebanyak RM1,500.
Menurut fakta kes, Mardiana, dan Shahrizam, 31, telah ditahan di sebuah premis kediaman beralamat C-05-08 Jalan UP 1/1D Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang pada 14 Disember 2014, pukul 3.03 pagi berdasarkan aduan awam kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Mereka ditahan mengikut Seksyen 29 (1) A dan B Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Putri Mardiana dalam satu kenyataan kepada mStar Online bertarikh 17 Disember 2014 memberitahu kes berkenaan tidak akan dibawa ke mahkamah atas sebab-sebab tidak dijelaskan selain mendakwa mereka tidak bersalah.
Pelakon itu mendakwa serbuan tersebut sengaja dirancang oleh bekas teman lelakinya dan bekas isteri Shahrizam dengan tujuan untuk memalukannya.
Sumber: mStar