Khalwat: Gagal Hadir Ke Mahkamah, Putri Mardiana Dikenakan Waran Tangkap

Putri Mardiana
MAHKAMAH Rendah Syariah Gombak Timur semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon Putri Mardiana berikutan gagal hadir pada perbicaraan atas tuduhan berkhalwat pada 14 Disember tahun lalu.

Perintah dikeluarkan Hakim Syarie, Mohamad Zaid Abdul Aziz selepas pelakon filem Ngangkung itu tidak hadir tanpa mengemukakan sebarang alasan munasabah kepada mahkamah.

Selain itu, waran tangkap turut dikeluarkan kepada penjamin Putri Mardiana.

23 Jun lalu, Putri Mardiana  dan pasangannya, Shahrizam Abdullah mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut di mahkamah sama dan mereka dikenakan ikat jamin sebanyak RM1,500.

Menurut fakta kes, Putri Mardiana, 34, dan Shahrizam, 31, ditahan di sebuah premis kediaman beralamat C-05-08 Jalan UP 1/1D Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang pada pukul 3.03 pagi berdasarkan aduan awam kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pasangan ini ditahan mengikut seksyen 29 (1) A dan B Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, Putri Mardiana ada mendakwa serbuan tangkap khalwat itu sengaja dirancang oleh bekas teman lelaki dan bekas isteri Shahrizam dengan tujuan untuk memalukannya. 

Sumber: mStar