Kisah Cinta Epik Pemahat Gunung Dari Benua India...

Manjhi – The Mountain Man
NEW DELHI – Sebut sahaja filem Bollywood, pasti ramai peminat cereka Hindi akan terbayangkan kisah fantasi cinta suci tidak berkesudahan selain pengorbanan suami atau isteri yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Bayangkanlah legenda sang raja sanggup membina Taj Mahal sebagai ‘kubur’ buat isteri tercintanya, tetapi itu kisah versi pemimpin yang berkuasa dan kaya raya, namun bagaimana pula orang miskin biasa-biasa sahaja.
Jangan terkejut epik ini baharu diangkat ke layar perak dan lebih indah, ia cuma cerita lelaki miskin yang tidak berputus asa memahat lereng sebuah gunung di India bukan 22 hari, 22 minggu atau 22 bulan; tetapi 22 tahun!
Kerja gilanya itu dibuat semata-mata untuk dijadikan sebatang jalan pintas yang ‘membelah’ gunung tersebut selepas melihat kematian tragik isteri tercintanya kerana halangan sukar akibat fizikal tanah tinggi berkenaan.
Dashrath_Manjhi_A
Filem biografi tersebut bertajuk Manjhi – The Mountain Man mula ditayangkan 21 Ogos lalu dan jangan terkejut, ia mendapat taraf ‘pecah panggung’ di seluruh India dengan kutipan 6.45 crore rupee (RM4.1 juta).
Kisahnya mengenai petani biasa bernama Dashrath Manjhi yang memahat gunung selepas kehilangan isterinya, Faguniya Devi pada 1959 ekoran gagal mendapatkan bantuan perubatan berikutan jarak hospital yang jauh.
Perjalanan dari rumahnya di kampung terpencil Gehlaur dengan bandar terdekat, Wazirganj di negeri Bihar adalah sejauh 55 kilometer menyebabkan isterinya maut ketika mereka mendaki kawasan pergunungan itu.
Justeru, lelaki berkenaan mahu memendekkan jarak laluan tersebut kepada cuma 15 kilometer sahaja dengan meratakan lereng gunung itu agar penduduk kampung lain tidak menerima nasib yang sama seperti dirinya.
dashrat-manjhi-road
“Kisah gigih Dashrath sangat indah dan menyentuh hati. Dia menjadikan tiada mustahil untuk dilakukan dan segala usahanya telah bantu ribuan orang,” kata aktor, Nawazuddin Siqqidui yang membawakan watak Dashrath.
Lelaki itu dikatakan bekerja sendirian dari pagi hingga ke malam meratakan kawasan lereng gunung dengan hanya menggunakan kudrat tukul dan pahat selama 22 tahun sehingga berjaya menamatkan kerjanya itu pada 1982 lalu.
Dia yang digelar ‘Lelaki Gunung’ meninggal dunia pada 2007 dalam usia 73 tahun akibat kanser di Hospital All India Institute of Medical Sciences di New Delhi dan diberi penghormatan istiadat pengkebumian negeri di Bihar.
Kerajaan India sebelum ini pernah mengiktiraf jasa bekas pelombong arang batu itu dengan menjadikan wajahnya dalam setem negara tersebut, malah menyiapkan jalan berturap menyambung ke kampungnya itu pada 2011 lalu.
Dilaporkan ketika Dashrath melakukan kerjanya itu, ramai penduduk kampung memberi sokongan dari segi makanan dan peralatan, bahkan namanya turut diabadikan pada hospital di Gehlaur. – Agensi