Kompaun RM500 Jika Merokok Di Tapak Warisan Dunia George Town

Gambar Hiasan
GEORGE TOWN – Bagi memastikan kawasan Tapak Warisan Dunia George Town sebagai kawasan bebas daripada asap rokok, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menubuhkan lapan pasukan penguat kuasa untuk memantaunya di bawah Projek Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR).

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Zailan Adnan berkata selain menjalankan penguatkuasaan, pasukan itu akan turut memberi nasihat dan teguran kepada orang ramai.

PENBAR berkuat kuasa 4 Julai lepas dengan lapan pasukan itu akan bertugas di lapan zon di sekitar kawasan tapak warisan berkenaan.

Beliau memberitahu pemberita bahawa selepas tempoh masa mendidik orang ramai selama enam bulan berakhir, pihaknya akan mengenakan kompaun terhadap mereka yang melanggar peraturan itu.

“Mana-mana perokok yang didapati menghisap rokok di kawasan Tapak Warisan Dunia George Town akan dikompaun sehingga RM500 dan jika gagal membayar denda itu, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya. – BERNAMA