KPDNKK Kedah Rampas 693 Tong LPG Bernilai RM60,000 Di Kuala Ketil

Antara tong gas domestik dan industri yang dirampas termasuk sebuah lori disita dalam serbuan di kawasan IKS Kuala Ketil semalam.
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 30-an dipercayai terbabit dalam kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) secara haram ditahan bersama nilai rampasan mencecah anggaran RM60,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Kedah, Shahrudin Hamzah berkata, dalam serbuan dijalankan 12 pegawai itu, sebanyak 693 tong LPG dirampas.

Menurutnya, sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut tong gas silinder terbabit dan peralatan memindahkan gas secara haram itu turut disita.

“Semasa pemeriksaan dilakukan mendapati sebanyak 602 buah merupakan tong gas domestik (berkapasiti 12 kilogram) di mana sebanyak 227 tong berada atas lori dan selebihnya disusun dalam premis terbabit.

“Daripada jumlah itu, hanya 239 tong domestik berisi manakala selebihnya merupakan tong kosong.

“Manakala 91 lagi merupakan tong industri (berkapasiti 50 kilogram) masih kosong kerana dipercayai belum sempat melakukan pemindahan, turut dirampas,” katanya semasa serbuan dilakukan di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) Kuala Ketil, semalam.

Sementara itu, dua lelaki yang sedang sibuk melakukan kegiatan terbabit melarikan diri ketika serbuan dilakukan manakala seorang lagi yang tiba-tiba muncul dan mengaku bertanggungjawab, menyerah diri kepada pasukan penguatkuasa, ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Peraturan 3 (1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, denda sebanyak RM1 juta atau penjara tiga tahun boleh dikenakan ke atas individu manakala denda RM2 juta boleh dikenakan kepada mana-mana syarikat yang didapati bersalah,” katanya.

Katanya, aktiviti itu dijalankan dengan memindahkan kandungan gas LPG dari tong domestik bersubsidi kepada tong industri menggunakan kaedah kimia dengan bantuan paip gas dan ais sebelum diedarkan kepada pasaran sekitar Kuala Ketil dan Sungai Petani dengan harga industri.

Hasil serbuan diperoleh daripada maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

“Bagaimanapun, kita turut memberi amaran dan mengenal pasti pemborong yang membekalkan gas LPG kepada peruncit tidak berlesen juga akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian