KPDNKK Perlis Kompaun 8 Peniaga Tidak Letak Tanda Harga


KANGAR – Akibat tidak meletak tanda harga dalam tempoh kawalan harga musim perayaan Aidilfitri, lapan peniaga dikompaun Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis.

Pengarah KPDNKK Perlis, Khairul Amin Talib berkata, peniaga pasar sehari dan pasar awam di sini dikesan melakukan kesalahan itu ketika menjelang Hari Raya baru-baru ini.

Semua peniaga terbabit dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dengan dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan kali pertama, katanya ketika ditemui pada jamuan Hari Raya KPDNKK Perlis di sini hari ini.

Khairul Amin berkata, jumlah itu bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding 15 peniaga dikenakan tindakan sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran di kalangan peniaga untuk meletak tanda harga.

Katanya, mulai 25 Julai lepas harga barang kawalan musim perayaan yang dikawal seminggu sebelum dan selepas Hari Raya, kembali ditentukan harganya oleh pasaran. – BERNAMA