Krisis Air: Exco PAS Dedah Budi Baik Kerajaan Pusat Bantu Rakyat Selangor


Lazimnya, amat jarang benar malah boleh dikatakan sifar untuk kita mendengar berita baik mengenai jasa kerajaan Barisan Nasional (BN) diucapkan sendiri oleh pembangkang yang mentadbir sesebuah negeri.

Bahkan setiap kali sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, pemimpin negeri khasnya berjawatan Exco sering ‘hentam’ kerajaan Pusat konon zalim dan ‘menganaktirikan’ mereka.

Namun lain pula kisah kali ini apabila sidang DUN Selangor di Shah Alam mencatat sejarah ekoran seorang Exco daripada Pas, Zaidy Abdul Talib mendedahkan rahsia kebaikan BN membantu negeri termaju itu selama ini.

Semua maklum, Pas kini berantakan ‘dicerai’ PKR dan DAP menyaksikan Pakatan Rakyat terpaksa dibubarkan baru-baru ini ekoran permusuhan ketara antara parti Islam itu dengan sekutu mereka dalam pelbagai isu sensitif.

Sejak jawatan Menteri Besar Selangor diambil alih Azmin Ali, isu air kembali jadi ‘panas’; jauh berbeza ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim yang lebih profesional tangani masalah itu demi kepentingan rakyat.

Cerita kerajaan Pusat sering membantu bekal air kepada Selangor supaya negeri itu tidak mengalami masalah kekurangan sumber pada masa musim kemarau langsung tidak pernah diceritakan oleh pemimpin PKR itu.

Sehinggalah Zaidy daripada Pas mengaku dalam DUN Selangor pada Rabu bahawa negeri itu akan mendapat lagi tambahan 500 juta liter air hasil persetujuan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Kerajaan Selangor bahkan ujarnya mengakui mendapat bantuan daripada kerajaan Pusat dalam memastikan negeri termaju itu tidak mempunyai masalah kekurangan air terutamanya sewaktu cuaca panas yang agak lama.

Zaidy yang juga Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani berkata, Putrajaya juga membantu Selangor mendapatkan bekalan air bersih daripada Negeri Sembilan yang menyalurkan 65 juta liter setiap hari.

“Seterusnya dengan persetujuan daripada KeTTHA juga, kerajaan Selangor akan mendapat bekalan air bersih daripada Negeri Sembilan menerusi loji rawatan air di Moi 2 sebanyak 65 juta liter air sehari,” jelasnya lagi.

Beliau menjawab soalan lisan ADUN DAP Balakong, Eddie Ng yang menuntut penjelasan jaminan dan usaha kerajaan negeri demi memastikan rakyat Selangor tidak berhadapan dengan catuan ketika cuaca kering ekstrem.

Dalam masa sama kerajaan negeri ujar Zaidy, tetap akan meneruskan kempen kesedaran agar penduduk dalam negeri itu dapat menjimatkan sekurang-kuragnyanya 25 peratus penggunaan purata bagi seorang setiap hari.

Melalui usaha kerajaan negeri, Zaidy yang juga ADUN Pas Templer itu memberi jaminan bahawa Selangor dijangka dapat menjimatkan sebanyak 880 juta liter sehari menjelang 2020 apabila projek Langat II selesai.

Dalam masa sama beliau mendakwa kerjasama di antara dua pihak itu amat penting demi memastikan keperluan asas rakyat akan terus diutamakan tanpa mengira perbezaan fahaman politik dengan pihak Putrajaya.

“Itulah sebenarnya pandangan kerajaan sama ada negeri dan persekutun untuk kebaikan rakyat, bahawa kita saling bekerjasama malah rakyat sentiasa diutamakan dalam segala hal,” ujar beliau lagi.

Penduduk Selangor selama ini sering berdepan dengan pelbagai masalah catuan air sejak ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat pada 2008 yang turut menyaksikan ramai pelabur bimbang mengembangkan perniagaan mereka.

Isu yang melanda industri bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya disebabkan kekurangan bekalan air terawat untuk pengguna yang berpunca daripada tiga faktor utama.

Pertama disebabkan oleh kekurangan bekalan air mentah, kedua ekoran kekurangan kapasiti loji rawatan air, dan ketiga masalah kekurangan kapasiti sistem agihan untuk menyalurkan bekalan air ke premis pengguna.

Ia asalnya akibat kedegilan dan permainan politik Azmin selaku MB baharu bermain ‘tarik tali’ melengahkan persetujuan pihak kerajaan Selangor selepas mengambil alih jawatan daripada Khalid pada tahun lalu. – Agensi