Gambar Hiasan |
Gelombang udara yang panas terlampau yang digelar "kubah panas" kini melanda Timur Tengah di mana beberapa bahagian di Iran dilaporkan mencatat suhu mencecah lebih 70 darjah Celcius.
Ahli meteorologi di AccuWeather, Anthiny Saglia berkata, suhu di Bandar Mahshahr, Iran sekarang adalah yang terpanas dalam sejarah bandar tersebut.
Suhu di Mahsahr mencatat 72 darjah Celcius, hanya beberapa darjah lebih rendah berbanding rekod suhu terpanas pernah dicatat setakat ini iaitu 81 darjah Celcius di kota Dhahran, Arab Saudi pada 8 Julai 2003.
Negara jiran Iran, Iraq turut dilaporkan berada dalam keadaan panas dengan suhu mencapai 50 darjah Celcius.
Keadaan panas yang kritikal ini membuatkan negara berkenaan hampir ‘lumpuh’ dengan cuti am negara berkenaan ditambah menjadi empat hari kerana cuaca dikhuatiri memudaratkan rakyat yang melakukan kegiatan luar.
Selain memberi cuti lebih panjang, rakyat Iraq dianjurkan pemerintah minum lebih banyak air dan mengelak berada di luar rumah bagi mengelak diserang strok haba.
Apa yang menimpa Timur Tengah kini digelar ‘kubah panas’ iaitu fenomena di mana udara bertekanan tinggi melintasi kawasan tersebut.
Tambah memburukkan keadaan, ia turut memberi kesan pada bekalan elektrik dan air bersih.
Di Selatan Timur Tengah, rakyat di sana memasang pendingin hawa pada suhu paling rendah dan pantai dipenuhi pengunjung yang datang untuk berendam.
Bagaimanapun dalam keadaan ini, golongan berkemampuan dan kaya raya nyata jauh lebih beruntung berbanding rakyat marhen.
Raja Salman dari Arab Saudi misalnya, membawa seluruh keluarga baginda bercuti di vila mewah di Perancis, mengakibatkan beberapa ratus meter kawasan pantai di sana terpaksa ditutup.