Kumpulan Pertama Tetamu Allah Dari Sarawak Berlepas Ke Tanah Suci

Gambar Hiasan
KUCHING – Kumpulan pertama 276 jemaah haji dari Sarawak berlepas ke Tanah Suci melalui penerbangan khas ke Madinah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini pada pukul 1.45 tengah hari pada Sabtu.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pada 11.15 malam (waktu Malaysia) malam ini.

Kumpulan itu ialah antara 764 orang yang diberi peluang untuk menunaikan haji musim ini.

Kumpulan kedua 216 jemaah akan berlepas pada 29 Ogos ini sementara kumpulan terakhir dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada satu tarikh kemudian.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib ialah antara mereka yang mengucapkan selamat jalan kepada jemaah tersebut di KIA.

Dalam ucapan ringkas sebelum itu, Taib mengingatkan para jemaah supaya menjaga tingkah laku dan memberi tumpuan sepenuh masa semasa menunaikan haji.

Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Adi Azuan Abdul Ghani, ketika bercakap kepada media, berkata anggota keluarga jemaah tidak harus bimbang atau risau apabila orang tersayang mereka berada di Tanah Suci.

Beliau berkata ini kerana Tabung Haji akan memberi layanan terbaik dalam semua aspek kepada mereka.

“Hakikatnya, Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai satu-satunya negara yang memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyatnya yang menunaikan haji,” katanya. – BERNAMA