Laluan Jeti Sesak, Pengusaha Teksi Langkawi Terjejas Kerana Kereta Sapu

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara memberi amaran kepada pengendali perkhidmatan kereta sapu di sekitar Langkawi supaya menghentikan aktiviti tersebut.

Ketua Penguatkuasanya, Mejar (B) Ahmad Zaidi Shuib berkata, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas.

“SPAD memberi amaran kepada semua pengendali kereta sapu haram dan kereta sewa pandu yang tidak mempunyai permit terutama di Jeti Kuah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Tindakan mereka bukan sahaja menyebabkan laluan keluar masuk sesak malah turut menjejaskan perkhidmatan teksi yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, SPAD Wilayah Utara akan melaksanakan Ops Tegas selama dua minggu di sekitar Langkawi bagi membanteras aktiviti tersebut habis-habisan.

“Sekiranya seseorang itu memberikan kenderaan miliknya (individu) kepada satu syarikat dan syarikat itu menjadikan ia sebagai kereta sewa haram, apabila ditangkap mereka boleh dikenakan denda RM1,000 hingga RM10,000.

“Malah kenderaan itu juga boleh disita dan dilucutkan hak pemilikan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian