Laman Pro-UMNO Dakwa Kroni Tun M Derma RM1 Bilion Kepada Pembangkang?

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad
Ketika hiruk pikuk ramai yang memperkata tentang sumbangan dana politik yang disalur ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak oleh sebuah negara Islam di luar negara, tiba-tiba timbul punya persoalan dalam isu yang sama membabitkan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebuah portal pro-UMNO, myKMU.net dalam tulisannya mempersoal tentang dakwaan yang mengatakan bahawa taikun-taikun ahli perniagaan terkemuka yang dikatakan akrab dengan Tun Dr Mahathir telah menyumbang sejumlah RM1 bilion kepada pembangkang sejak 2008.

Menyebut nama salah seorang taikun berkenaan, laman portal itu turut mempersoalkan tentang tuduhan bahawa Tan Sri Vincent Tan yang merupakan pemilik Kumpulan Berjaya telah menyalurkan hampir RM400 juta kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Tun siasat atau beritahu kita, betul atau tidak Tan Sri Vincent Tan, ahli perniagaan kesayangan Tun yang menganjurkan parti hari jadi Tun ala James Bond baru-baru ini, telah menyumbang hampir RM 400 juta kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2013? 

"Vincent Tan, orang yang mendapat pelbagai kemudahan dan keistimewaan semasa pentadbiran Barisan Nasional di bawah Tun, dikatakan menyumbang hampir RM 1 bilion kepada parti musuh sejak 2008,” tulis penulisnya, Amin Yatim.


Menurut penulis itu lagi, beberapa ratus juta turut disumbangkan oleh syarikat YTL, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan beberapa tokoh perniagaan lain bagi membantu Pakatan Rakyat dalam salah satu pilihan raya paling sengit negara ini.

Penulis itu juga meluahkan rasa kecewanya terhadap tindak-tanduk bekas Perdana Menteri itu yang terus-terusan mempertikaikan kredibiliti Najib yang bersungguh-sungguh memastikan BN menang pada PRU ke-13 yang lalu.

Sedangkan katanya, dalam pada masa yang sama, bekas Presiden UMNO itu langsung tidak menghalang tindakan kroni-kroninya menghulurkan bantuan kepada pembangkang.

"Tun sedikit pun tidak menghargai usaha Mohd Najib mempertahankan pentadbiran negara ini sungguhpun ia secara langsung menyelamatkan legasi Tun dan Perdana Menteri-Perdana menteri sebelum ini," tulisnya.

Lantas itu, penulis berkenaan menyifatkan Tun Dr Mahathir seolah tidak lagi berkelakuan sebagai seorang negarawan, malah tidak mencerminkan 'cakap serupa bikin' sebagaimana yang beliau katakan sendiri ketika memegang tampuk pemerintahan sebelum ini.

“Jauh lebih menyayatkan hati, Tun tidak lagi boleh menjadi ahli parti yang baik seperti mana Tun minta kami semua buat ketika Tun Perdana Menteri,” tulisnya lagi. -Kedahnews.com