Lambaian Baitul Ateeq Menggamit Lagi Musim Ini, LabbaikAllah Humma Labbaik!

Antara kenangan terindah Admin Kedahnew.com menunaikan ibadah haji beberapa tahun sebelum ini. Rindunya...
MEMANG ramai dalam kalangan kita ternan­ti-nanti tambahan kuo­ta jemaah haji negara. Boleh dikembalikan daripada jumlah sedia ada, 22,320 jemaah kepada angka asal 27,900 atau tidak?

Kuota haji rasmi itu dikurangkan sebanyak 20 peratus atau 5,580 sejak 2013. Namun, ini juga bergantung kepada takdir-Nya. Kalau diizinkan oleh kerajaan Arab Saudi yang sekian lama budiman kepada Kuala Lumpur, adalah rezekinya. Lagipun kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah serta sekitarnya masih belum sempurna.

Begitupun buat masa ini, ramai yang sudah bersiap sedia setelah menerima surat tawaran mengerjakan haji untuk Musim 1436H/2015 ini. Bersyukurlah kerana anda terpilih, dipanggil ke rumah Allah atau kiblat umat Islam ini.

Alhamdulillah kerana sudah sampai seru-Nya. Kalau tidak, tempoh menunggu giliran bagi yang baru mendaftar haji semalam (9 Ogos 2015) adalah 73 tahun. Setakat 29 Julai tahun ini, jumlah yang te­lah mendaftar haji adalah 1,820,525 orang (1.8 juta).

Bagi jemaah penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Ogos ini, talbiah haji tentu bergema. Sejumlah tujuh stesen lapangan terbang disenaraikan bagi membawa jemaah haji secara terus ke tanah suci menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Airlines.

“Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah.” (“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu”).

Apakah perkara baharu menanti jemaah di tanah suci nanti untuk Musim 1436H ini? Walaupun dalam kalangan 22,320, detik-detik berada di lapangan terbang nanti, diikuti bersalaman, sebak dan saling menangisi bersama ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara merupakan detik-detik untuk berlepas, namun difahamkan kali ini pergerakan jemaah akan lebih berjalan lancar di sana.

Dengan siapnya projek kereta api berkelajuan tinggi Haramain di Jeddah dan Mekah, kesesakan yang ditempuh para jemaah antara Mekah dan Madinah akan berkurangan. Terbahagi kepada enam seksyen atau kawasan bermula dari seksyen 1 di Mekah dan berakhir di seksyen 6 di Madinah, stesen lain yang akan turut dilalui oleh bullet train ini adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz dan Pusat Ekonomi Raja Abdullah di Rabigh.

Kelajuan tertinggi kereta api ini adalah 360km/jam. Tren menghubungkan Mekah-Madinah tersebut setakat ini keperluannya untuk orang tempatan, yang sekali gus mengurangkan kesesakan lalu-lintas.

Jika musim haji lepas, jemaah mana-mana negara yang menggunakan perkhidmatan bas, teksi, pikap perlu ‘bersaing’ dengan jemaah tempatan sehingga untuk ke Arafah pun memakan masa antara lima hingga enam jam, kali ini paling lama pun untuk ke lokasi urusan mengerjakan wukuf itu menjadi satu hingga dua jam. Ini impak dari siapnya projek kereta api ini, yang mengurangkan jemaah tempatan di atas jalan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya masih mengekalkan larangan lawatan ke ladang unta dan kurma kepada jemaah haji Malaysia.

“Untuk membeli kurma tidak jadi masalah. Kita semua juga jangan risau akan ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS), kerajaan Arab Saudi telah menjamin keselamatan jemaah haji dari seluruh dunia di tanah suci nanti.

“Cuma, mana yang tidak dapat pergi tahun ini (Musim Haji 1436H/2015M) harap bersabarlah, Tabung Haji akan cuba sedaya upaya kemas kini kaedah pemilih­an,” kata beliau.

Abdul Azeez memberitahu, seramai 600 petugas haji termasuk wakil media, doktor serta jururawat akan ditugaskan di pelbagai sektor di Mekah dan Madinah bagi tujuan memudahkan operasi dan perjalanan jemaah.

“Seramai 250 petugas dihantar awal pada 3 Ogos lalu dan selebih­nya akan dihantar pada 8 dan 12 Ogos ini,” katanya.

Kata beliau, kos jemaah muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang walaupun kos sebenarnya RM17,270.

“Ini bermakna, subsidi sebanyak RM7,290 telah diperuntukkan kepada setiap jemaah haji dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung Tabung Haji pada tahun ini ialah RM150 juta,” katanya.

Pihak Tabung Haji turut me­lantik 17 syarikat pengelola untuk musim haji kali ini.

“Syarikat pengelola ini mengendalikan pakej haji bukan muassasah, jadi saya nasihatkan mereka yang pergi haji menerusi syarikat-syarikat atau travel agent haji ini untuk melaporkan kepada Tabung Haji jika ada perkara-perkara yang tidak disenangi mereka. Ini untuk mengelakkan Tabung Haji dipersalahkan,” kata beliau.

Antara inovasi baharu yang akan diperkenalkan semasa Musim Haji 1436H ini:

Perkhidmatan Talian Kaunseling (PeKa) sebagai tambahan kepada Talian Ibadat (Taib) sedia ada.

Sistem baharu yang akan diperkenalkan di tanah suci tahun ini iaitu Sistem THHIS (TH Health Information System) telah dibangunkan sendiri oleh Tabung Haji bagi pengurusan maklumat pesakit dari kalangan jemaah haji.

Perkhidmatan pergigian yang dimulakan tahun lalu, akan ditambah baik dengan peralatan baharu yang lebih canggih.

Di Mekah baru-baru ini, Tabung Haji turut memastikan tahap kemudahan yang disediakan di Pusat Rawatan Aziziah sentiasa berkualiti dari segi perkhidmatan dan keselesaan. Antaranya, menaiktaraf pusat rawatan itu agar mematuhi peraturan keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh bomba Arab Saudi.

Kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan termasuk memasang sistem pemercik air dalam bangunan pusat rawatan tersebut.

Pada masa sama, Muassasah Asia Tenggara turut memberi reaksi positif terhadap beberapa pandangan yang dikemukakan Tabung Haji. Antara cadangan yang diutarakan adalah membenarkan Tabung Haji menggunakan petugasnya sendiri untuk menguruskan jemaah haji Malaysia.

Mereka turut menyambut baik cadangan Tabung Haji menempatkan beberapa chef agensi itu bagi membantu muassasah dari segi penyediaan makanan panas untuk jemaah haji Malaysia.

Muassasah turut memperuntukkan sebanyak 20 ambulans khusus untuk jemaah dari Tabung Haji. Tabung Haji dengan kerjasama radio IKIMfm juga menyediakan Program Haji 1436H/2015M bagi memberi pendedahan dan ilmu kepada para jemaah tersebut.

“Tabung Haji sudah bersedia sama ada dari segi penginapan, klinik kesihatan sehinggalah ke keperluan logistik, perkhidmatan pengeluaran wang, mengepos dan bagasi,” kata Abdul Azeez.

Di beberapa lapangan terbang di Malaysia bermula tengah malam 16 Ogos sehinggalah 16 September depan, talbiah haji akan terus bergema. Lirik lagu Panggilan Haji juga akan ikut berkumandang.

Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah.

Sumber: Utusan