Precious by RCW |
Pelakon Rozita Che Ta mendedahkan produk keluaran minyak wangi miliknya iatu Precious by RCW menerima sambutan paling hangat berbanding perniagaan lain yang dijalaninya.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 43, berkata, ketika melancarkan produk minyak wangi berkenaan di laman Instagram sekitar Mei lalu, dia banyak menerima tempahan awal dan sebanyak 40,000 botol minyak wangi tersebut dijual hanya dalam masa dua hari sahaja.
"Alhamdulillah, saya tidak sangka menerima sambutan sebegini rupa. Precious by RCW dikeluarkan sebanyak 40,000 botol dan ia habis dijual dalam masa dua hari.
"Tak sempat saya nak buat pelancaran secara formal. Hahaha...Apa yang memuaskan hati saya, pelanggan-pelanggan memuji minyak wangi tersebut.
"Syukur sangat, memang niat saya mahu menghasilkan produk mampu milik, tetapi kualitinya seperti produk jenama mahal. Harganya pun cuma RM29.90 sahaja," katanya kepada mStar Online.
Rozita ditemui pada majlis rumah terbuka aktres itu dan keluarga di Hotel Sunway Putra di sini pada malam Jumaat.
Selain Precious by RCW, Rozita turut mempunyai produk tudung rekaannya sendiri iaitu Padusi dan syarikat produksi, Padusi Production.
Sementara itu, Rozita berkata, dia akan melancarkan minyak wangi baharu dalam masa terdekat ini iaitu, Gorgeous by RCW sebanyak 70,000 botol.
"Memandangkan sambutan sememangnya hangat, saya menambah lagi bilangan botol menerusi minyak wangi saya yang terbaru pula.
"Tak tahulah bagaimana penerimaannya. Harap-harap sempatlah saya buat pelancaran produk minyak wangi ini, barulah nampak teratur dan diyakini ramai," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rozita kini sedang sibuk dengan rakaman mengacara program temu bual Teh Tarik Che Ta untuk siaran Astro.
Sumber: mStar