Lebih 2,000 Lelaki Di Malaysia Sah Hidap Kanser Paru-Paru Setiap Tahun

Gambar Hiasan
SERDANG – Lebih 2,000 lelaki di Malaysia disahkan menghidap kanser paru-paru setiap tahun, menjadikan penyakit itu sebagai ‘musuh’ utama kaum lelaki di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya.

Beliau berkata, selepas kanser paru-paru, dua lagi penyakit barah yang sering menyerang kaum lelaki adalah kanser usus serta kanser hidung dan tekak.

“Bagi wanita pula, kanser nombor satu ialah kanser payu dara diikuti kanser pangkal rahim dan kanser paru-paru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan Persatuan Bronkologi dan Intervensi Pulmonologi Malaysia (MABIP) di Hospital Serdang di sini, hari ini.

Dr. Hilmi berkata, kebimbangan terhadap risiko jangkitan paru-paru tidak boleh lagi dikaitkan dengan gaya hidup termasuk tabiat merokok semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh keadaan persekitaran.

Sementara itu, Pengerusi MABIP, Dr. Jamalul Azizi Abdul Rahaman berkata, pesakit paru-paru termasuk mereka yang menghidap asma akut tidak lagi perlu mendapatkan rawatan di luar negara, sebaliknya prosedur berkenaan boleh dilakukan di Malaysia. – BERNAMA