Lebih 250,000 Set Dekoder MyTV PERCUMA Untuk Rakyat Sabah

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak cuba menggunakan set siaran ujian MYTV di rumah penduduk Kampung Likas selepas majlis penyampaian set siaran itu di Dewan Masyarakat Kampung Likas hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU – Lebih 250,000 set dekoder diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd secara percuma kepada penduduk di Sabah apabila siaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) dilancarkan sepenuhnya tahun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada dua juta set dekoder yang akan diagihkan secara percuma kepada penduduk di seluruh negara.

Berucap pada majlis penyampaian set dekoder siaran ujian MYTV kepada 30 peserta ujian penyiaran DTT di Kampung Likas di sini hari ini, Mohd Salleh mengucapkan syabas kepada pihak MYTV kerana memperluas siaran ujian DTT itu ke Sabah.

Beliau berkata Sabah dipilih MYTV sebagai tapak pertama untuk meluaskan siaran DTT di Sabah/Sarawak dan merupakan negeri keempat menjalani fasa ujian siaran DTT.

“Selain memasang pemancar ujian siaran DTT di Bukit Karatong, Kota Kinabalu, terdapat dua lagi tapak pemancar di pasang di Sabah iaitu Gunung Andrassy di Tawau dan Bukit Trig di Sandakan,” katanya.

Sebanyak 1,500 set dekoder percubaan MYTV diperuntukkan kepada penduduk di Sabah yang terpilih sebagai peserta ujian penyiaran DTT, yang sekali gus menjadi pengguna terawal siaran televisyen digital itu.

Kesemua peserta menerima pemasangan dekoder MYTV secara percuma dan akan menikmati tujuh siaran iaitu TV1, TV2, TV3, NTV7, TV8, TV9 and TV AlHijrah dalam bentuk digital untuk fasa ujian itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Halim Shafie dan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Che Azemi Haron.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Holdings Nik Abdul Aziz Nik Yaacob memberitahu pemberita pemancar di Bukit Karatong itu mampu memancarkan liputan siaran DTT di kawasan sekitar Kota Kinabalu sehingga ke Tuaran dan Kota Belud.

Beliau berkata ujian penyiaran DTT itu dibuat antara lain bertujuan mengenal pasti dan memperbaiki permasalahan liputan sebelum siaran TV digital dilancarkan sepenuhnya.

“Sebelum ini, fasa ujian DTT dilancarkan di Terengganu, Kelantan dan Pahang bagi mengenal pasti permasalahan untuk diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya, dan memberitahu akan memperluas fasa ujian siaran DTT itu di Sarawak.

Setakat ini, penduduk terpilih sebagai peserta ujian siaran DTT itu memberi respons amat baik dengan menerima kesemua tujuh siaran percubaan tanpa gangguan, katanya. – BERNAMA