Lelaki Dituduh Berzina Cincang 6 Anak, Isteri Dan Ibu Di Rusia

BELOV bersama enam anaknya.
Moscow – Seorang lelaki ditahan polis Russia kerana membunuh dan mencincang enam anak, isterinya yang hamil dan ibu kandungnya.

Oleg Belov, 51, dilaporkan cedera ditembak selepas melawan ketika ditahan. Menurut pegawai kesihatan, keadaannya stabil.

Jawatankuasa Siasatan Persekutuan berkata, suspek ditahan di rumah ibu mentuanya Valentina Zaitseva, 69, dan dipercayai merancang membunuh wanita itu.

Mayat enam anak Belov yang dicincang menggunakan kapak ditemui selepas mereka gagal hadir ke tadika di kediaman mereka di Nizhny Novgorod di timur Moscow.

Kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Alyona, 7, Fyodor, 6, Sonya, 5, Nikifor, 3, Ilya, 2, dan Daria, setahun.

Ibu mereka Zinaida ialah pensyarah matematik di sebuah universiti tempatan.

Guru tadika dan Valentina menghubungi polis selepas kanak-kanak berkenaan tidak menghadiri kelas sejak 25 Julai lalu.

Semua mayat dicencang menggunakan kapak dan disumbat dalam beg plastik.

Turut ditemui di lokasi berasingan, sisa mayat seorang wanita dipercayai ibu Belov.

Menurut penduduk tempatan, Belov disingkirkan daripada kumpulan Seventh Day Adventists selepas dituduh berzina, lapor laman berita Russia LifeNews.

Ketua Jawatankuasa Parlimen Russia mengenai kanak-kanak, Pavel Astakhov berkata, Zinaida bercadang menggugurkan hak penjagaan Belov terhadap anak mereka. – Agensi