Lelaki Sanggup Tendang Kepala Sendiri 134 Kali Untuk Pecah Rekod Dunia


IMPIAN seorang remaja untuk memecahkan rekod dunia ternyata menjadi realiti selepas berjaya mencatatkan rekod ‘The Most Kicks To Head In One Minute (Self)”.

Remaja yang dikenali sebagai Puskar Nepal, 19, dilaporkan mampu menendang pada dahinya sebanyak 134 kali dalam masa 60 saat menggunakan teknik kaki berselang- seli.

Puskar memegang gelaran ‘Individu yang paling banyak menendang diri sendiri dalam masa satu minit’ sejak minggu lepas selepas mempersembahkan aksi tersebut kepada pihak Guinness World Records pada bulan Disember lalu.

Bercerita mengenai keunikan dirinya, pelajar dari Sindhupalchowk, Nepal ini berkata, dia sudah lama memasang impian untuk dicatatkan dalam buku rekod dunia.

“Saya belajar aksi ini beberapa tahun lalu selepas mengetahui terdapatnya kategori menendang dahi sendiri.

“Saya memilih untuk mencuba dan memberi sepenuh tumpuan untuk menjayakan aksi tersebut.

“Latihan bagi melakukan perbuatan menendang kepala itu sangat sukar. Oleh itu, saya berusaha keras selama lapan, sembilan bulan sehinggakan tubuh saya mampu menjadi fleksibel kerana aksi itu memerlukan saya membongkok selama satu minit,” katanya.

Selain itu, Puskar akui perbuatannya itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakan dan keluarganya yang berpendapat ianya boleh mendatangkan kecederaan pada Puskar.


Bagaimanapun, Puskar yakin kerana selama dia berlatih melakukan aksi tersebut dia tidak mendapat sebarang kecederaan.

Katanya lagi, dia berharap dengan kejayaannya itu mampu menyumbang sesuatu untuk rakyat miskin miskin sepertinya di luar bandar.

“Saya mahu orang-orang dari negara-negara lain untuk tahu tentang saya. Memecahkan rekod dunia sentiasa menjadi impian bagi saya dan kini ia dipenuhi,” tambahnya. -Agensi