SYDNEY – Seorang lelaki berusia 22 tahun terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba Australia untuk melepaskan diri daripada mesin basuh selepas terperangkap lebih tiga jam.
Mangsa yang berusia 22 tahun itu terperangkap dari pinggang ke bawah badan dalam mesin basuh muatan atas itu di kediamannya sendiri di Lakemba, barat Sydney, baru-baru ini.
“Memang tugasan ini cukup menarik kerana pihak kami sendiri tidak pernah melakukan operasi menyelamat aneh seperti ini,” kata Bomba New South Wales di laman Facebook rasminya.
Anggota bomba dilaporkan terpaksa meleraikan mesin basuh itu terlebih dahulu dan meletakkan bongkah kayu untuk menstabilkan posisi lelaki berkenaan sepanjang proses untuk mengeluarkannya.
“Sebaik bahagian luar dileraikan, pihak kami memotong tong diperbuat daripada keluli tahan karat untuk membolehkan lelaki terbabit dapat dikeluarkan,” kata laman Facebook itu lagi.
Ujarnya, proses operasi agak pelik tersebut hanya mengambil masa lebih daripada sejam sebelum lelaki itu segera dibawa ke sebuah hospital tempatan.
Sementara itu, ketua balai bomba Bankstown, David Cross berkata: “Tidak dinafikan ini antara tugasan paling pelik pernah kami terima setakat ini.
“Mangsa mujur begitu tenang sepanjang proses mengeluarkannya walaupun keadaan dirinya itu memang sangat tidak selesa.” – Agensi