Seorang lelaki tetap tidak berganjak dari rumahnya biarpun jengkaut bersedia melakukan operasi pembersihan di kawasan berdekatan. |
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki bertegas tidak berganjak dari meninggalkan rumah didiami biarpun kerja-kerja merobohkan kediamannya di Kampung Raja, Sungai Petani dilakukan kira-kira jam 10 pagi kelmarin.
Sebelum ini, lelaki itu diperintahkan mengosongkan tanah atas arahan mahkamah bagaimanapun berkeras tidak mahu keluar dari rumahnya.
Difahamkan, rumah yang diduduki lelaki itu bersama isteri dan tujuh anak atas tanah pusaka milik keluarga sudah dijual kepada pihak ketiga dalam masa sama, tuan tanah memerintahkan tapak berkenaan dikosongkan bagi tujuan pembangunan.
Peguam, Datuk Ganesan Subramaniam mewakili tuan tanah berkata, pihaknya sudah memberi kelonggaran kepada kesemua penghuni yang mendiami tiga rumah dalam tanah berkenaan supaya mengosongkan kawasan itu sejak tiga tahun lalu.
“Arahan mengosongkan tanah diperintahkan mahkamah selepas kes ini selesai dibicarakan.
“Bagaimanapun, penghuni yang menetap di sini tetap berdegil walaupun kita memberi kelonggaran dengan alasan mereka belum mempunyai tempat berlindung.
“Perbuatan itu juga menyebabkan kerja-kerja meroboh ditunda beberapa kali apabila mereka merayu diberikan tempoh sebelum berpindah,” katanya.
Menurutnya, sebaik rundingan dilakukan, penghuni dari sebuah rumah bersetuju berpindah dalam tempoh seminggu selepas pemberian wang ihsan sebanyak RM5,000 ditawarkan kepada setiap rumah.
“Namun, penghuni dari dua rumah lagi tidak berganjak di mana seorang lelaki berusia 40-an dilihat menunggu di hadapan rumahnya biarpun jengkaut sudah memulakan operasi pembersihan di kawasan berhampiran.
“Dia juga menolak untuk diberikan wang ihsan yang ditawarkan,” katanya.
Katanya, rundingan selama dua jam setengah di lokasi berkenaan menemui jalan buntu apabila penghuni itu tidak memberi kerjasama.
"Peluang terakhir diberikan kepada penghuni supaya datang ke pejabat di Taman Tuanku Haminah, Sungai Petani sebelum operasi pembersihan disambung sepenuhnya minggu depan," katanya.
Sumber: Sinar Harian