Letupan Bom Di Bangkok: Bila Tersilap Suspek, Aktor Australia Jad Mangsa

Hanya kerana memiliki wajah seiras dengan suspek dikehendaki polis Thailand untuk kes pengeboman di Bangkok, seorang lelaki yang juga pelakon dari Australia, Sunny Burns memilih untuk menyerah diri.
HANYA kerana memiliki wajah seiras suspek yang amat dikehendaki Polis Diraja Thailand untuk kes pengeboman di Bangkok pada Isnin, seorang lelaki yang juga pelakon dari Australia memilih untuk menyerah diri.

Tindakannya itu terpaksa dilakukan bagi menafikan dia terlibat dengan insiden berdarah tersebut sekali gus membersihkan semula namanya ekoran wajahnya mula menjadi popular di seluruh dunia pada Selasa.

Menurut Sunny Burns, dia hanya menyedari situasi tersebut setelah dimaklumkan oleh teman-temannya tentang wajah suspek yang dihebahkan pihak berkuasa Thailand menerusi imej dari kamera litar tertutup atau CCTV.

PAY-Bangkok (1)PAY-Bangkok
Berdasarkan imej tersebut, ia menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju berwarna kuning, pada mulanya menggalas satu beg sandang sedang berjalan kaki di sekitar tempat kejadian tersebut.
Dalam imej berikutnya, beg sandang berkenaan kemudian didapati telah tiada dan lelaki berkenaan dilihat berlalu pergi sebelum bom yang disyaki diletakkan di bawah sebuah bangku di tepi jalan tiba-tiba meletup.

Foto-foto tersebut kemudian menjadi viral dan mencuri perhatian wartawan Thailand, Prasitchai Kumbang, yang kemudian mengaitkan Burns dengan suspek pengeboman.

Prasitchai kemudian meminta maaf atas isu berkenaan.
Sementara itu, menerusi kemas kini di laman Instagram peribadinya, Sunny memuat naik sekeping gambar ketika dia membuat keterangan di sebuah balai polis bagi menafikan dirinya sebagai suspek letupan bom tersebut.
“Saya sedang memberi keterangan kepada pihak polis. Saya sudah memaafkan individu yang menyebarkan khabar angin tentang diri saya,
“Saya cintakan negara ini dan marilah kita berjuang bersama. Ayuh kita cari pengebom tersebut. Saya bukan pengganas tetapi hanya seorang pelakon biasa.” tulisnya.
Selain itu, dia turut memaklumkan bahawa pihak polis terpaksa menggeledah rumahnya untuk mencari bahan bukti, namun dia langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif terhadap tindakan tersebut.

Malahan, Burns turut memuji pihak berkuasa Thailand itu kerana melakukan tugas mereka dengan baik serta tetap membenarkan dirinya menggunakan telefon.

Petang Isnin lalu, dunia dikejutkan dengan laporan menyayat hati apabila bandar raya Bangkok digegarkan letupan bom dahsyat disasarkan di tempat tumpuan awam iaitu berhampiran sebuah rumah ibadat terkenal.


Kejadian tersebut meragut lebih 20 nyawa orang awam dan pelancong asing, termasuk empat warga Malaysia selain menyebabkan ratusan yang lain cedera bergelimpangan di jalan raya. – Agensi