Letupan Bom Di Bangkok: Mangsa Ke-5 Warganegara Malaysia Disahkan Maut

Tinggal kenangan... Lim Su See (kiri) bersama empat ahli keluarganya yang turut maut dalam insiden pengeboman di Bangkok.
Seorang pelancong, Lim Su See, 52, adalah mangsa ke-5 warganegara Malaysia yang telah disahkan maut dalam insiden letupan di Kuil Erawan di Bangkok, Thailand, Isnin lalu.

Memetik media The Star, pihak berkuasa negara itu menemui mayatnya pada kira-kira tengah malam Selasa.

Menurut sumber, mayat Su See akan dibawa pulang ke tanah air selepas prosedur bedah siasat selesai dijalankan pada keesokan hari.

Su See merupakan kakak kepada mangsa yang turut maut, Lim Saw Gek, 49.

Turut menjadi mangsa korban dalam insiden itu ialah anak lelaki Saw Gek, Neoh Jai Jun, 20, menantu lelakinya, Lee Tze Siang, 35, dan cucu perempuanya, Lee Jing Xuan, 4.

Dua lagi ahli keluarga mangsa yang terselamat dikenalpasti sebagai suami Saw Gek, Neoh Hock Guan, 55, dan anak perempuan Saw Gek, Neoh Yee Ling, 33, yang hamil lima bulan terselamat berikutan tidak berada di tempat kejadian.

Tujuh sekeluarga itu bercuti di Bangkok dengan menaiki keretapi dan sepatutnya pulang ke Pulau Pinang semalam.

Insiden letupan terbabit menyebabkan 22 mangsa terkorban sementara lebih 120 orang awam mengalami kecederaan.

Sehingga kini pihak berkuasa Thailand sedang giat memburu suspek berbaju kuning yang membawa beg sandang seperti mana yang terdapat dalam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian. -Kedahnews.com