Letupan Bom Di Bangkok: Sekurang-Kurangnya 10 Suspek Terlibat – Polis Thailand


BANGKOK – Ketua Polis Diraja Thailand berkata, sekurang-kurangnya 10 individu disyaki terlibat dalam serangan bom di sini Isnin lalu yang mengorbankan 20 orang, dengan lebih separuh daripadanya adalah warga asing.

Terdahulu, jurucakap polis berkata, mereka percaya sekurang-kurangnya tiga individu, termasuk seorang lelaki warga asing, terbabit dalam serangan letupan berdarah di sebuah kuil terkenal di pusat bandar raya itu.

“Ia merupakan satu rangkaian yang cukup besar. Terdapat persediaan rapi dan menggunakan ramai orang,” kata ketua polis negara itu, Somyot Poompanmuang kepada para pemberita pada Khamis.

“Ini termasuk mereka yang membuat pengawasan di jalanan, menyiapkan bom itu dan mereka yang berada di lokasi kejadian… dan mereka yang tahu laluan untuk melarikan diri,” jelas beliau lagi.

“Sekurang-kurangnya 10 orang terlibat,” tambahnya. – Reuters