Mahfuz Omar Desak Batal Naik Gaji Mukhriz, Exco Kerajaan Negeri Kedah

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir sepatutnya menguruskan kewangan negeri secara berhemah dan bukannya mengambil kesempatan dengan menaikkan gaji beliau dan anggota pentadbirannya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan kenaikan gaji pokok Adun Kedah terbaru sudah memadai dan tiada keperluan kenaikan itu untuk jawatan Speaker, Timbalan Speaker dan Menteri Besar dan Exco negeri itu.

"Saya kesal dengan tindakan MB yang mengambil kesempatan untuk menaikkan gaji pokok beliau dan anggota pentadbiran, sedang yang perlu dinaikkan hanyalah gaji pokok Adun.

"Sudah cukup dengan kenaikan gaji pokok Adun untuk perbelanjaan MB dan Exco kerajaan negeri nak hidup. Belajarlah menguruskan kehidupan yang sederhana di waktu keadaan ekonomi negara yang cukup kritikal sekarang," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau mengulas kenaikan gaji itu selepas Dun Kedah pada Khamis yang meluluskan Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2015.

Adun Kedah termasuk Menteri Besar dan Exco akan menerima kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Enakmen itu menetapkan gaji Adun akan dinaikkan daripada RM4,112 kepada RM11,000 sebulan.

Gaji Speaker dan 10 anggota Exco pula akan dinaikkan daripada RM6,109 kepada RM14,000 sebulan manakala gaji timbalan speaker daripada RM3,993 kepada RM7,000 sebulan.

Gaji baharu Menteri Besar pula adalah RM22,000 sebulan berbanding RM14,175 sebulan sebelum ini.

Dalam pada itu, Mahfuz juga menimbulkan persoalan di saat kerajaan negeri kekurangan pendapatan, pentadbiran Muhkriz sewenang-wenang menambah perbelanjaan termasuk kenaikan gaji berganda oleh Speaker, Timbalan Speaker, Menteri Besar dan Exco negeri itu.

"Muhkriz sendiri mencadangkan agar cukai GST dikurangkan kepada 3 peratus hendaklah hasilnya dikongsi dengan negeri-negeri miskin seperti Kedah.

"Bagaimana negeri miskin MB dan Exco kerajaan menikmati pendapatan gaji pokok yang lumayan dari hasil negeri yang miskin," soalnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak pentadbiran Muhkriz membatalkan kenaikan gaji bagi Speaker, Timbalan Speaker, Menteri Besar dan Exco pada sidang belanjawan negeri itu.

"Saya mendesak Menteri Besar membawa pindaan undang-undang itu pada sidang belanjawan yang akan datang untuk membatalkan kenaikan gaji pokok bagi empat jawatan ini.

"Mereka hanya boleh mengekalkan kenaikan gaji pokok untuk Adun sahaja," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian