Majikan Di Malaysia Disaran Sedia Ruang Khas Mesra Penyusuan Ibu

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Zaininah Mohd Zain (tiga kiri) bersama Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2015 Peringkat HKL Dr Noor Haliza Yusoff (dua kiri) melihat pameran pada majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015 Peringkat HKL di Auditorium Utama Hospital Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Majikan khususnya di sektor perkilangan dan perindustrian disaran mewujudkan lebih banyak ruangan khas mesra penyusuan ibu di tempat kerja.

Perunding Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Noor Haliza Yusoff berkata pihaknya mendapati ramai wanita berkerjaya mahu menyusukan bayi masing-masing, namun tiada kemudahan disediakan di tempat kerja.

“Ini menyebabkan mereka tiada pilihan dan terpaksa mencari alternatif dengan memerah susu badan di tandas atau bilik stor yang tidak sesuai.

“Ruang khas lebih privasi diperlukan bagi membolehkan ibu berkerjaya meneruskan penyusuan susu badan selama enam bulan kerana ia merupakan satu tanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia Peringkat HKL di sini, hari ini.

Dr Noor Haliza berkata, wanita yang melakukan penyusuan di tempat kerja mampu meningkatkan produktiviti kerana kekal fokus dan tidak mengambil cuti kecemasan menjaga bayi mereka.

Sementara itu, Perunding dan Penasihat Pump On The Go, Nur Zuain Abdul Ghani berkata menggalakkan wanita meneruskan penyusuan ketika bekerja mampu menghindari mereka mengalami tekanan.

“Jika ibu yang masih menyusukan bayi mereka tertekan, ia boleh mengakibatkan hormon terganggu, sekali gus penghasilan susu tidak lancar dan mendorong ibu menghentikan penyusuan badan dan menggantikannya dengan susu formula,” katanya.

Beliau juga menasihatkan wanita yang ingin meneruskan penyusuan untuk bayi mereka memaklumkan jadual penyusuan kepada majikan bagi mengelakkan permasalahan ketika bekerja. – BERNAMA