Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedia menawarkan bantuan sewajarnya kepada seorang penjaja wanita berbangsa India yang viral semalam gara-gara dikatakan kononnya telah dizalimi pihak penguatkuasa itu.
Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan mengikut keperluan kepada wanita berkenaan.
“Kalau dia datang minta bantuan… mungkin kita akan berjumpa dengan beliau dan menawarkan apa yang boleh kita bantu,” katanya yang dipetik dari Bernama dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Datuk Omar Ahmad berkata, beliau telahpun meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh untuk mengambil tindakan terhadap peniaga tidak berlesen yang menjaja di sekitar kawasan hospital berkenaan.
“Kita telah bayar kantin kita RM14,000 sebulan, kenapa ada orang datang berniaga di sini dengan percuma dan mengganggu lalu lintas,” katanya.
Kelmarin, isu seorang penjaja wanita berbangsa India menjadi viral apabila beberapa keping gambar yang menunjukkan dia sedang terduduk sambil hasil perniagaannya seperti maruku, bertaburan di atas jalan raya, dikongsi ramai di Internet.
Ekoran itu, ramai warga netizen yang membuat andaian sendiri mengutuk pihak MBI yang dituduh bertindak zalim, hanya kerana wanita terbabit tidak memiliki permit untuk berniaga di situ.
Bagaimanapun, seorang pemuda tampil yang bertanggungjawab menyebarkan gambar bersama kapsyen yang seolah-olah menyalahkan pihak MBI telah tampil memohon maaf atas silap informasi itu dan memberi alasan ia dilakukan semasa dia sedang emosi.
Menurut beberapa saksi kejadian, "aunty" yang menjaja maruku di depan hospital berkenaan sebenarnya telah menyelerakkan barangan yang dijajanya di atas jalan, dipercayai tertekan apabila dihampiri para pegawai penguatkuasa MBI yang melarangnya menjaja di kawasan tersebut. -Kedahnews.com