Makan Malam Di Langit RM599 Seorang, Ada Berani?


Berminat dan rasa teringin menikmati makan malam yang romantis serta berlatar belakang pemandangan gemerlapan kota metropolitan Kuala Lumpur?

"Dinner romantis" ini dibawakan khas bagi mereka yang teringin menikmati makan malam atas platform yang ditarik dengan kren setinggi lebih kurang 50 meter dari atas darat dan mampu menampung kapasiti 22 orang bagi satu sesi makan malam.

Jangan terlalu risau tentang keselamatan kerana para peserta akan diminta mengenakan tali pinggang keselamatan khas dan plaform berkenaan akan berpusing secara perlahan-lahan mempamerkan keindahan Kuala Lumpur di malam hari.


Difahamkan bahawa makan malam itu mempunyai dua sesi, yang pertama adalah pada jam 6.30 malam dan sesi yag kedua berlangsung pada jam 8.30 malam.

Bagi yang berminat untuk merasai pengalaman tersebut, harga bagi seorang hanyalah "serendah" RM599!


Namun kami dimaklumkan bahawa meskipun harganya "serendah" itu,  ketika majlis pelancaran makan malam itu dikatakan bahawa tiketnya sudah "sold out", habis terjual!

Selebriti terkenal negara seperti Datuk K dan isteri, Datuk Siti Nurhaliza serta Datuk Lee Chong Wei difahamkan telah mencuba makan malam di langit itu.


Bagi kami yang tidak berkemampuan di Kedahnews.com ini, maka cukuplah kami makan malam di atas bumbung rumah flat sajalah untuk menikmati makan malam berpanorama di sekitar Alor Setar ini. Itu pun kalau berpeluang, kan? -Kedahnews.com