Makan "Siput Babi" Di Kota London, Neelofa Dikecam Peminat

Neelofa di Kota London
Selebriti jelita, Neelofa berdepan dengan kritikan ramai peminat gara-gara memuat naik sekeping gambar sejenis hidangan makanan yang dijamahnya di sebuah restoran terkemuka di Kota London, baru-baru ni.

Neelofa yang difahamkan masih berada di London turut meletakkan kapsyen yang ditulis, hidupan laut tersebut merupakan sejenis siput dipanggil Escargot.

Walau bagaimanapun, status berkenaan telah menyebabkan para pengguna media sosial lain mengkritik pilihan Neelofa itu dan mendakwa bahawa "escargot" ataupun turut dipanggil "siput babi", haram dimakan oleh umat Islam.

Hukum tersebut telah diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan diterangkan secara jelas di laman sesawang jabatan tersebut.
ISU:
 
Adakah siput escargot halal atau haram dimakan oleh orang Islam?  Siput ini berasal dari Perancis dan diternak secara meluas di banyak negara Eropah termasuk US, England, Australia dan Bulgaria. Ia memiliki rupa yang sama seakan-akan siput babi tetapi daripada genus yang berbeza. Siput babi adalah helix aspersia manakala siput escargot adalah helix pomatia. Siput ini kini boleh didapati dalam menu di sebahagian kecil restoran dan hotel di negara ini.
 
PENJELASAN:
 
Escargot adalah perkataan dalam Bahasa Perancis yang merujuk kepada sejenis siput yang dikenali dalam Bahasa Malaysia sebagai siput babi. Walaupun kedapatan beberapa jenis siput babi seperti helix aspersia dan helix pomatia, tetapi kedua-duanya adalah tergolong dalam genus yang sama iaitu Genus Helix. Dalam Bahasa Arab, siput babi dikenali sebagai halazun (حلزون).
 
Dalam fiqah, halazun/escargot adalah tergolong dalam kumpulan ‘hasyaraat’ iaitu haiwan kecil yang melata/menjalar. Dalam mazhab Syafie, secara umumnya haiwan yang tergolong dalam hasyaraat adalah haram dimakan kerana termasuk dalam haiwan yang dianggap keji (khabisah). Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala:
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمْ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”. (Surah Al-A’raf: 157).
 
Berdasarkan kaedah pengharaman haiwan-haiwan yang dianggap keji, maka mazhab Syafie dan majoriti ulama berpendapat bahawa halazun/escargot adalah haram dimakan.
Pandangan ini disebut dalam keterangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 2 April 1998 dalam membincangkan tentang pembiakan siput babi. Antara lain, Muzakarah menyatakan:
“Menurut Mazhab Shafie, siput babi dianggap sebagai khabisah kerana apabila ia mati ia tergolong sebagai bangkai.
 
Dari segi kaedah ‘ilah dan ma’lul khabisah ialah ‘ilah kepada pengharaman. Oleh itu siput babi ini hukumnya haram dimakan. Dalam Mazhab Syafie juga, binatang-binatang yang halal dimakan hanyalah binatang-binatang yang telah disembelih sahaja, kecuali jenis ikan dan belalang”.
 
Memandangkan isu halal atau haram memakan halazun/escargot adalah bersifat ijtihadiah kerana tidak ada nas qat’ie daripada al-Quran dan Sunah berkaitan dengannya, maka ada ulama yang mengharuskannya dan mereka berpegang kepada asal hukum makanan adalah halal sehingga ada nas yang mengharamkannya. Manakala majoriti ulama’ yang mengharamkannya berpendapat ia adalah hasyarat, dan ia bukan haiwan yang disembelih, maka jika ia mati, ia adalah bangkai.
 
Wallahu A’lam.
Namun, Kedahnews.com tidak pasti sama ada hidangan yang dimakan Neelofa itu merupakan benar-benar Escargot atau hanyalah sekadar cengkerang Escargot yang kadangkala dijadikan hiasan bagi hidangan di restoran-restoran terkemuka.

Pada pandangan kami, tidak hanya Neelofa saja, malah seluruh umat Islam juga harus berhati-hati dalam memilih makanan yang hendak dijamah kerana semua tahu, "makanan akan menjadi darah daging", bukan? Wallahu'alam. - Kedahnews.com