Malaysia Antara Di Hadapan Bantu Negara Asia Pasifik Dalam TVET


KUALA LUMPUR – Malaysia kini adalah antara negara yang berada di hadapan untuk membantu negara Asia Pasifik dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Justeru itu beliau berkata Persidangan Asia Pasifik mengenai Pendidikan dan Latihan (ACET) 2015 menjadi platform terbaik bagi negara untuk berkongsi idea, falsafah serta pandangan bagi memperkukuh serta membangunkan TVET.

“TVET menjadi antara komponen penting di Asia Pasifik. TVET juga memberi peluang kepada golongan pertengahan untuk mendapat akses kepada pendidikan lebih bermutu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada ACET 2015 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan dan Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Chong Sin Woon.

Persidangan tiga hari itu disertai wakil dari 27 buah negara antaranya Korea, India, Jepun, Iran, Uzbekistan, Thailand dan Singapura.

Majlis perasmiannya dijadual dilakukan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh esok.

Dalam ucapannya Mahdzir berkata polisi dan strategi pendidikan perlu seimbang dan inklusif dalam mendekati golongan terpinggir termasuk kanak-kanak kurang upaya bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi.

“Negara-negara perlu mengutamakan TVET dan diletakkan dalam pendidikan arus perdana bagi melengkapkan golongan belia dengan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata penyertaan dalam TVET akan berkembang menerusi perkongsian dengan industri bagi memenuhi penawaran dan permintaan. – BERNAMA