Keadaan Khairul Izzat yang melecur di muka dan badan. |
ALOR SETAR - Mangsa simbah asid dalam kejadian Sabtu lalu berkemungkinan perlu menjalani pembedahan plastik untuk mengembalikan wajahnya.
Ibu mangsa, Salmah Salleh, 51, berkata, anak sulung daripada empat beradik, Khairul Izzat Mohd Zaki, 22, melecur kira-kira 30 peratus di beberapa bahagian termasuk muka.
Menurutnya, sehingga kini anak_nya itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan rakannya, Mohd Sufri Zulkifli, 19, pula dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecederaan di bahagian leher.
“Doktor beritahu Izzat perlu tinggal di hospital sementara waktu untuk pemeriksaan dan rawatan, malah berkemungkinan perlu dibedah,” katanya.
Salmah berkata, dia bimbang emosi anak lelaki yang juga bekas pelajar sebuah kolej perubatan di Bertam berkenaan terganggu ekoran kecederaan yang dialami.
"Perancangan Izzat untuk melanjutkan pengajian kemungkinan tergendala disebabkan tragedi menimpa dia, malah mengambil masa untuk sembuh.
“Muka Izzat membengkak, manakala mata sepet. Malah, dia mengadu mata dia kabur sewaktu saya melawatnya,” katanya.
"Saya dimaklumkan doktor supaya bersedia berdepan kemungkinan muka anak saya berubah, malah perlu menjalani pembedahan plastik untuk mengembalikan wajahnya.
"Disebabkan itu Izzat perlu tinggal di hospital lebih lama bagi menunggu keputusan penuh sama ada perlu menjalani pembedahan plastik ataupun tidak," katanya.
Katanya, dia hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan kira-kira RM900, malah memiliki tiga tanggungan lain termasuklah dua anaknya yang masih belajar.
Dalam pada itu katanya, dia kecewa mengenangkan tindakan penyewa rumah umpama seolah-olah ‘susu dibalas tuba’ yang sanggup melakukan kejadian sedemikian rupa.
Dalam kejadian 25 Julai lalu, lima pemuda termasuklah tiga beradik cedera disimbah asid oleh penyewa rumah mereka di Kampung Baru Bakar Kapur, Kuala Kedah.
Difahamkan, kesemua mangsa disimbah asid apabila mengunjungi rumah dihuni pesawah itu bagi berbincang mengenai tunggakan wang sewa rumah sejak Februari lalu.
Lelaki berusia 63 tahun berkenaan didakwa masuk ke dalam rumah, sebelum keluar dan menyimbah asid kepada tiga anak lelaki pemilik rumah dan beberapa rakannya.
Bagi mereka yang berhasrat membantu mengumpulkan dana kewangan untuk rawatan Khairul Izzat boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 152023265126.
Sumber: Sinar Harian