Mohd Sallehhuddin (tengah) memberi bantuan kepada tekong bot karam, Adnan Zainol dalam kejadian 27 Julai lalu. |
KUALA KEDAH - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengesan masih ramai nelayan di seluruh negara tidak berdaftar dengan jabatan berkenaan.
Ketua Pengarah LKIM, Mohd Sallehhuddin Hassan berkata, walaupun ada lebih 100,000 nelayan namun, secara purata hanya 50,000 berdaftar untuk elaun sara hidup RM300 sebulan.
“Dianggarkan, hampir separuh daripada 100,000 nelayan yang ada di negara ini tidak berdaftar. Kegagalan mendaftarkan diri mereka menyebabkan sebilangan mereka tidak berpeluang menikmati kemudahan tersedia.
“Sedangkan nelayan berdaftar dapat menikmati pelbagai kemudahan antaranya termasuklah pampasan insurans Lembaga LKIM sebanyak RM100,000 untuk kes di laut,” katanya.
Misal katanya, kes nelayan hilang di perairan Kemaman, yang mana sebuah keluarga mangsa ditemui terapung berpeluang memperoleh wang pampasan insurans RM100,000.
Malah katanya, nelayan berdaftar dan memiliki kad nelayan boleh dipertimbangkan untuk bantuan baik pulih rumah antaranya seperti kerja pembaikan ataupun pembinaan semula.
Dalam perkembangan sama katanya, sebanyak 1,840 kediaman di negeri ini terlibat dalam bantuan baik pulih rumah termasuklah dua kediaman di Pulau Tuba dibina semula dengan kos mencecah RM17 juta tahun lepas.
"Pihak LKIM merancang melaksanakan beberapa program bagi mendekati nelayan, sekali gus memberi penerangan mengenai kepentingan pendaftaran itu," katanya.
Turut hadir, Pengarah LKIM Kedah, Baharudin Kadri.
Manakala, Di Kedah, Exco Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob berkata, hanya kira-kira 9,000 nelayan laut, manakala 45 nelayan daratan berdaftar.
"Nelayan perlu mendaftarkan diri bagi memudahkan sebarang urusan ketika musibah antaranya bantuan ataupun perlindungan insurans bagi individu terlibat," katanya.
Terdahulu, pihak mereka menyampaikan sumbangan ihsan kepada mangsa bot karam kira-kira dua batu nautika dari Kuala Jerlun pada 27 Julai lalu.
Sumber: Sinar Harian