Mayat Charon yang ditemui orang awam dalam parit di belakang rumahnya. |
ALOR SETAR - Mayat seorang kaki pancing ditemui terapung dalam parit berhampiran Jalan Kilang Tebu, di sini, kira-kira jam 1.15 petang kelmarin.
Mangsa, Charon Chai, 52, ditemui lengkap berbaju T warna hitam dan berseluar panjang dalam keadaan tertiarap oleh orang awam yang menggunakan laluan bersebelahan parit berkenaan.
Anak saudara mangsa, Lim Soo Peng, 48, berkata, Charon yang masih bujang ditemui kali terakhir kira-kira jam 10 pagi semalam, sebelum keluar memancing di belakang rumah mereka.
Menurutnya, Charon kerap mengalami sawan antara dua hingga tiga kali seminggu mengikut keadaan.
“Sudah menjadi kebiasaan, Charon yang bekerja sebagai tukang rumah akan memancing di belakang rumah kami jika tidak ada apa-apa kerja.
"Selalunya dia akan memancing dengan bapa mertua saya, tapi kali ini dia memancing sendirian," katanya.
Soo Peng berkata, kematian Charon hanya disedari selepas dimaklumkan orang awam kepada bapa mertuanya.
"Sebaik mengetahui kejadian menimpa Charon, kami terus ke belakang rumah.
"Kami tak pernah sangka dia akan mati lemas kerana hobi memancingnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat berkenaan daripada orang awam.
"Mangsa ditemui tertiarap dalam kawasan parit cetek dan disahkan sudah meninggal dunia melalui pemeriksaan yang dijalankan.
"Kita dimaklumkan mangsa ada sakit sawan yang sering berulang dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya.
Sumber: Sinar Harian