MBAS Cadang Buat Terminal Bas Di Limbong Kapal

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad
ALOR SETAR - Terminal bas baharu antara empat komponen pembangunan yang dicadangkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di kawasan Limbong Kapal, di sini.

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, kawasan itu akan dibangunkan yang kebetulan berada 50 meter dengan stesen keretapi.

“Kita hanya menyediakan lakaran dan konsep pembangunan yang nak dilaksanakan dan terpulang kepada mana-mana pelabur yang berminat untuk menguruskannya. 

“Tawaran ini dibuka sehingga November ini bagi membolehkan mereka yang berminat membuat kertas cadangan dan permohonan kepada MBAS,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, projek bernilai RM300 juta itu dijangka menjadi pusat komersial yang baharu di pusat bandar.

“Projek ini melibatkan keluasan tanah 5.9 hektar dengan 0.9 hektar milik MBAS.

“Antara pembangunan yang dicadangkan ialah Alor Setar Sentral, Pusat Konvensyen Alor Setar, hotel dan aparment,” katanya.

Mat Noh berkata, antara komponen yang bakal dibangunkan di Alor Setar Sentral ialah terminal bas baharu, stesen teksi, jejantas pejalan kaki dan pusat membeli belah empat tingkat.

“Terminal bas baharu ini tidak bermakna terminal bas di Shahab Perdana dipindahkan ke sini, kedua-duanya masih beroperasi.

“Cuma bezanya ialah kita nak bangunkan kawasan ini sebab ia berada di tengah pekan dan memudahkan orang ramai,” katanya.

Hotel dan apartment yang bakal dibangunkan itu pula masing-masing melibatkan 10 tingkat.

“Kita hanya merancang, itu terpulang kepada pihak pelabur untuk menyesuaikannya sama ada menjadikan hotel itu bertaraf lima bintang atau empat bintang. Manakala apartment satu blok itu bakal menyediakan lebih 200 unit rumah,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Konvensyen Alor Setar mampu memuatkan 2,000 orang dalam satu masa.

Pada perkembangan lain, MBAS juga bakal membina sebuah kompleks pentadbiran baharu di Jalan Suka Menanti dengan kos RM50 juta.

“Mana-mana pihak yang bermina tuntuk memajukan tapak MBAS yang lama boleh berhubung dengan kami untuk maklumat lanjut,” katanya.