MBPP Tak Halau Penjaja Pasar Karat, Cuma Beri Notis Suruh Pindah Saja

Ah Teong (kiri) dan Lai Heng (dua, kiri) ketika menjawab soalan daripada peniaga yang turut hadir pada sidang media.
GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan dakwaan peniaga pasar karat rope walk Lebuh Armenian yang kononnya dihalau dari menjalankan perniagaan.

Sebaliknya peniaga di kawasan berkenaan sudah diberikan notis terlebih dahulu untuk berpindah ke kawasan lain bagi memberi laluan kepada projek naik taraf taman landskap di kawasan berkenaan.

Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong berkata, pihaknya tidak pernah mengabaikan nasib lebih 70 peniaga yang terlibat, malah beberapa lokasi alternatif lain dicari untuk peniaga yang terlibat meneruskan perniagaan mereka.

“Pihak majlis berbincang dan menerangkan terlebih dahulu kepada peniaga berkenaan mengenai pembangunan yang bakal dijalankan malah notis juga diberikan kepada mereka sebelum ini.

“Perpindahan mereka di Lebuh Clamant memang dibenarkan oleh MBPP tetapi ada pihak lain yang tidak selesa dengan kehadiran peniaga di kawasan berkenaan dan melarang mereka untuk berniaga di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media, semalam.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan, Adun Komtar, Teh Lai Heng dan beberapa peniaga yang terlibat.

Ah Teong berkata, pihaknya mencari beberapa lagi lokasi alternatif kepada peniaga terlibat namun, setakat ini tidak ada yang sesuai untuk diberikan kepada kumpulan peniaga berkenaan.

Bagaimanapun, Ah Teong berkata, untuk sementara waktu peniaga berkenaan dibenarkan untuk beroperasi di lorong belakang berhampiran dengan Balai Polis Central, di sini.

Sementara itu, Lai Heng berkata, tindakan peniaga yang membuka gerai jualan mereka di Lorong Lumut selepas berpindah dari Lebuh Clamant tanpa kebenaran MBPP mengundang masalah sehingga menyebabkan beberapa pergaduhan berlaku.

Menurutnya, penduduk di Lorong Lumut menghubunginya dan membantah tindakan peniaga yang sesuka hati membuka gerai di hadapan premis mereka.

“Saya sedar masalah dihadapi peniaga namun, mereka perlu mengikut peraturan yang ditetapkan. Kita minta mereka bersabar dan beri masa kepada MBPP,” katanya.

Sumber: Sinar Harian