Melayu Perlu Pilih UMNO, Tiada Parti Lain - Mukhriz Mahathir

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.
KUBANG PASU – Orang Melayu tidak mempunyai pilihan lain selain daripada UMNO dalam memperjuangkan nasib dan memajukan kedudukan mereka, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun berkata, perjuangan parti tersebut amat dekat di hati rakyat dan UMNO juga sentiasa mendengar suara hati rakyat.

“Jikalau kita hendak harapkan (parti) yang lain, kita tidak akan mendapat apa yang dinikmati hari ini. Parti PAS sahaja telah berpecah kepada tiga, dengan PASMA dan kini ada GHB atau “Gerakan Haru Biru”.”

“Dalam keadaan seperti itu, saya sendiri tidak berasa yakin mereka akan dapat parti yang sebaik UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jerlun.

Mesyuarat tahunan bahagian beliau itu dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal pada Sabtu. – BERNAMA