Memperguna Patung Buddha Untuk Simpan Dadah, Akhirnya "Kantoi" Jua...

Gambar Hiasan
SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Taktik licik tiga penjenayah yang merupakan pengedar dan penagih dadah menggunakan patung Buddha sebagai tempat penyembunyian dadah akhirnya terbongkar.

Memetik laporan China Press, ketiga-tiga mereka sebelum ini disangka penganut setia agama kerana seakan-akan kelihatan membuka tokong dalam rumah kediaman mereka yang terletak di Segamat, Johor.

Bagaimanapun, pihak polis yang mensyaki sesuatu yang aneh mengenai kemunculan lebih seratus patung itu dalam rumah tersebut bertindak melakukan serbuan pada pukul 10 malam, 9 Ogos lalu.

Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui pelbagai jenis dadah yang disorokkan dalam bahagian patung-patung tersebut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Mohd. Kamil Sukarmi berkata, dalam serbuan tersebut, polis berjaya menemukan 260 biji pil Amphetamin, 13 biji pil khayal, 14.3 gram syabu dan 25.7 gram ketamin dengan kesemuanya bernilai RM13,000.

Susulan itu, pihak polis berjaya menahan tiga suspek berumur antara 30 hinga 40 tahun.

Seorang suspek mempunyai rekod jenayah dan baru dibebaskan dari penjara kurang setahun lalu. -Kedahnews.com