Motorsikal - 4WD Bertembung Kemalangan Di Tunjang, Warga Emas Maut


ALOR SETAR - Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan di jalan Jeram, Tunjang, Kubang Pasu, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, mangsa, Bakar Awang, 76, dari Kampung Tanjung, Jeram menunggang motosikal jenis Honda Ex5 terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal kira-kira jam 12 tengah hari.

“Dalam kejadian itu, sebuah pacuan empat roda datang dari arah stesen kereta api menghala ke Pekan Tunjang.

“Apabila sampai ke tempat kejadian, pemandu kenderaan itu dipercayai cuba memotong dua motosikal di hadapannya. Dalam masa yang sama dipercayai ada sebuah motosikal dari arah belakang juga bertindak memotong di sebelah kiri,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemandu itu kemudiannya terkejut dan memusing stereng kenderaannya ke sebelah kanan lalu terlanggar dua motosikal yang berada di hadapannya. 

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun pihak hospital kemudiannya memaklumkan seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.45 petang.

“Manakala seorang lagi penunggang motosikal Saleh Ahmad, 71, dari Kampung Gelong Rambai, Jeram masih menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian