PEGAWAI perubatan utama Chelsea, Eva Carneiro |
PEGAWAI perubatan utama Chelsea, Eva Carneiro dilarang bersama skuad ketika sesi latihan, perlawanan dan juga berada di hotel pasukan.
Larangan tersebut dibuat oleh pengurus The Blues Jose Mourinho yang tidak berpuas hati dengan tindakannya ketika aksi pertama liga bertemu Swansea Sabtu lalu.
Mourinho mendakwa pasukan perubatan yang diketuai Carneiro terlalu lurus selepas penyerang prolifik Eden Hazard mengalami kecederaan dan doktor utama itu terus bergegas memberi perubatan.
Bagi Mourinho, keadaan Hazard itu tidak serius kerana dia hanya kepenatan dan rawatan yang diberikan Eva itu menyebabkan skuadnya kekurangan pemain untuk mengejar menambah gol.
Jelas Mourinho, dia tidak gembira dengan pegawai perubatannya.
"Walaupun kamu doktor atau setiausaha yang duduk di kerusi bersama pemain, kamu perlu tahu taktik perlawanan.
"Kamu perlu tahu bila pemain kurang dan apabila kamu pergi ke padang membantu pemain, kamu perlu tahu bahawa pemain itu benar-benar mengalami masalah kecederaan serius," jelas MOurinho.
Mourinho (kanan) memarahi Carneiro sebaik sahaja doktor itu merawat Hazard. |
Ternyata Mourinho begitu marah dengan pasukan perubatan tersebut sehingga mengeluarkan larangan agar tidak bersama skuadnya.
Dalam pada itu Carneiro,41, sebelum ini menjadi pegawai perubatan simpanan bagi skuad Chelsea sejak 2009, namun Andre Villas-Boas melantiknya sebagai doktor utama pasukan pada tahun 2011.
Carneiro turut memuat naik status di laman Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong tugasnya selama ini.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan. Saya sangat menghargainya". -mStar