Sany Hamzan menyampaikan jemputan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara pada Rabu. |
KUALA LUMPUR - Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijemput untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan pada hujung minggu ini.
Gerakan Anak Muda Harapan Baru menghantar jemputan tersebut ke kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara di sini pada pukul 11.30 pagi Rabu.
Jemputan tersebut dimasukkan ke dalam peti surat kediamannya berikutan Muhyiddin berada di luar negara.
"Kita berharap Tan Sri Muhyiddin akan menyertai orang ramai dalam perhimpunan yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini," kata penyelaras Gerakan Anak Muda Harapan Baru, Sany Hamzan.
Menurut Gerakan Anak Muda Harapan Baru, pada masa ini, Muhyiddin merupakan satu-satunya pemimpin Umno yang diberikan jemputan rasmi.
Penganjur Bersih berkata, perhimpunan itu akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos walaupun ia diisytiharkan sebagai perhimpunan haram.
Pada Selasa, polis memberitahu bahawa perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana penganjur gagal memenuhi notis kepada pihak polis.
Notis yang perlu dipenuhi itu termasuk pelan butiran laluan dan lokasi yang terlibat, bagi membolehkan polis mengawal keadaan perhimpunan.
Menurut polis, penganjur gagal mengemukakan notis selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan mereka untuk menggunakan Dataran Merdeka dan Padang Merbok sebagai lokasi perhimpunan.