Datuk Seri Mukhriz Mahathir |
ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah berharap pelantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Menteri Pendidikan yang baharu dapat membantu negeri ini muncul antara lima negeri terbaik di Malaysia dari segi pendidikan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata negeri ini agak terkebelakang berbanding negeri lain dalam bidang pendidikan dan berharap ia dapat diperbaiki menerusi pelantikan bekas Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu.
“Saya amat seronok dengan pelantikan Tok Det (Mahdzir) sebagai Menteri Pendidikan. Dengan peruntukan (kementerian) yang besar, saya berharap Kedah dapat muncul antara lima negeri teratas dari segi pendidikan,” katanya.
Mahdzir, menurutnya, merupakan tokoh ketiga daripada Kedah dilantik sebagai Menteri Pendidikan selepas bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Khir Johari.
Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata demikian pada majlis kesyukuran sempena pelantikan empat pemimpin Kedah dalam kabinet di kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Sabtu malam.
Beliau berkata, pelantikan Mahdzir dan Datuk Wira Johari Baharom sebagai Timbalan Menteri Pertahanan serta pengekalan jawatan Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah amat membanggakan.
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan oleh Najib baru-baru, Jamil Khir dikekalkan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, manakala Ahmad Bashah pula kekal sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Mengenai pelantikan Johari pula, Mukhriz berharap agar masalah yang berlaku di kawasan sempadan khususnya seperti penyeludupan barangan dan manusia dapat ditangani. – BERNAMA