Nahas Payung Terjun: Dua Lelaki Maut Di Gunung Jerai


ALOR SETAR - Dilaporkan bahawa dua lelaki dari Kelab Sukan Udara Negeri Perlis maut selepas payung terjun yang dinaiki mereka tersangkut pada pokok di tebing curam ketika menjalani latihan paragliding di Gunung Jerai, Kedah, tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu, mengakibatkan kedua-dua mangsa Mohd Hazlan Ismail, 32, yang bertugas sebagai Konstabel Sokongan Polis dan Liang Chong Kee, 52, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Nur Hafizah Muhammad Lukman mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.53 tengah hari dan tiba di lokasi pada 2 petang.

Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa telah berjaya dibawa turun dari pokok dan operasi membawa mayat menuruni kawasan cerun sedang dijalankan.

“Bomba terpaksa menggunakan tali untuk membawa mangsa turun dari tebing curam dianggarkan berketinggian 50 meter.

“Seramai 23 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Petani dan Guar Cempedak, di sini terbabit dalam operasi itu,” jelasnya. -Kedahnews.com