Jayapura - Semua 54 mayat mangsa nahas pesawat ATR 42-300 Trigana Air Services sudah dikeluarkan dari lokasi pesawat itu terhempas dan diterbangkan ke hospital di bandar ini.
Selama dua hari sejak semalam, lebih 300 anggota pasukan penyelamat termasuk penduduk tempatan, terpaksa membawa keluar mayat menggunakan jalan darat menuruni gunung, berjalan sejauh kira-kira 15 kilometer ke Oksibil, kerana helikopter tidak boleh digunakan berikutan cuaca buruk.
Pengarah Operasi Trigana Air, Kapten Beni Sumaryanto, berkata semua mayat sudah ditemui dan diterbangkan ke Jayapura, bandar utama Papua.
“Mayat itu kini dalam proses mengenal pasti sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.
Pesawat ATR 42-300 itu berlepas dari Jayapura untuk penerbangan 45 minit ke Oksibil tetapi terputus hubungan 10 minit sebelum mendarat. Pesawat itu ditemui berkecai dipercayai terlanggar gunung.
Penyiasat masih mencari kotak data penerbangan selepas menemui kotak hitam pesawat semalam. Tiga penyiasat dari BEA Perancis, yang menyiasat kemalangan udara serta empat penasihat teknikal ATR juga berada di Jakarta untuk memulakan siasatan. - AFP