NCSM Nafi Wap Nikotin Vape Sama Seperti Asid Nitrik

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) tidak pernah membuat kenyataan wap nikotin yang dikeluarkan melalui penggunaan rokok elektrik mempunyai sifat sama dengan sifat asid nitrik yang boleh mengakibatkan penyakit kanser.

Unit Perhubungan Awam dan Komunikasinya dalam satu kenyataan media berkata, NCSM cuma menjelaskan campuran bahan tertentu dalam rokok elektronik yang boleh menyebabkan pemangkin kepada kanser dalam kalangan penggunanya.

“Apabila cecair nikotin bercampur dengan bahan pelarut yang lain seperti propelyn glycol dan glycerine yang disedut melalui rokok elektrik dan diruapkan kembali ke udara bersama nitrogen oksida, campuran inilah yang boleh menyebabkan pemangkin kepada kanser di kalangan pengguna rokok elektrik,” kata kenyataan itu hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan pakar kanser berpendapat tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap penyakit maut iaitu kanser.

Menurut laporan itu, proses pengewapan cecair nikotin, yang dihasilkan daripada rokok elektronik akan disedut pengguna dan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.

Asid tersebut merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia.

Walau bagaimanapun, para pengguna vape dikatakan tetap berhujah dan mendakwa penggunaan rokok eleltrik berkenaan adalah terbukti secara saintifik lebih selamat berbanding tabiat lama mereka sebelum ini yang merupakan perokok tegar.

Selain itu, terdapat juga pandangan yang mengatakan beberapa media seolah cuba menegakkan benang yang basah dengan memburukkan penggunaan Vape berbanding rokok bagi melindungi industri tembakau yang memberi pulangan lumayan kepada pengusaha rokok terkenal. -Kedahnews.com