Pelakon dan pengacara Neelofa mengambil langkah menyertai semula kelas lakonan sebelum memasuki set penggambaran sesebuah drama atau pun filem.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 25, berkata, selain dapat mengasah teknik lakonannya, ia juga bertujuan untuk membina sesuatu watak yang diberikan supaya lebih bersedia.
"Seperti drama lakonan terbaharu saya iaitu Wan Embong saya mengambil kelas lakonan selama beberapa hari sebelum ke set penggambaran sebagai persediaan mendalami watak saya kerana ia agak berat dan memerlukan saya bermain dengan emosi.
"Ia sebenarnya baik untuk pelakon mengasah teknik lakonan dan membina karektor sesuatu watak," katanyta kepada mStar Online.
Wan Embong arahan Amie Maziah itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Faizal Hussien, Vanidah Imran dan Izreen Azminda.
Ia bakal menemui penonton pada September depan menerusi slot Cerekarama bersempena sambutan Hari Malaysia.
Dalam pada itu, Neelofa memberitahu budaya memasuki kelas lakonan itu diperoleh ketika mengikuti kursus jangka pendek di Sekolah Filem dan Lakonan Akademi Filem New York, Los Angeles (NYFA), Amerika Syarikat.
Neelofa bergandingan dengan Johan As'ari dalam Wan Embong. |
Katanya lagi, budaya tersebut masih belum meluas di negara ini biarpun ia perkara biasa di luar negara.
"Masuk kelas lakonan bukan bererti seseorang pelakon itu tidak tahu berlakon tetapi sebaliknya lebih banyak ilmu ditimba.
"Pada saya ia bukan sesuatu yang pelik kerana budaya tersebut turut diamalkan oleh pelakon kelas pertama di Hollywood," katanya.
Sementara itu, Neelofa berkata, buat masa ini dia belum bersedia untuk berlakon dalam drama bersiri dan ingin memberi fokus kepada telefilem dan filem sahaja.
Ini kerana, kesibukan dengan perniagaannya iaitu Neelofar Hijab mengehadkan masanya memandangkan drama bersiri memerlukan tempoh agak panjang.
"Ada tawaran drama bersiri tetapi saya tidak boleh beri komitmen memandangkan ada perkara lain yang turut memerlukan perhatian terutamanya perniagaan saya.
"Tidak mengapa buat masa ini saya fokus kepada drama dahulu dan Insya-Allah jika ada rezeki dapat saya luangkan masa untuk terima projek drama bersiri," jelasnya. -mStar